Categories: HiburanTrending

Amar Baharin Terkejut Tanah Keluarga Dipindah Milik Tanpa Pengetahuan – “Mak Aku Siap Bayar Cukai Tanah, Macam Mana Tu?

Pelakon Amar Baharin meluahkan rasa musykil apabila sebidang tanah hak milik keluarganya di Semenyih telah dipindah milik tanpa pengetahuan.

Perkara itu telah dikongsikan oleh Amar menerusi sebuah hantaran di platform X dan Instagram, Rabu lalu.

Menurut Amar, dia terkejut apabila tanah yang ingin diusahakan oleh ibu bapanya itu sudah dibina sebuah rumah dan mempunyai penghuninya.

“Mak aku ada sebidang tanah di Semenyih. Nak diringkaskan cerita, mak dan arwah ayah aku nak usahakan tanah tu. Bila pergi melawat tapak tanah tu, terkejut bila nampak dah ada rumah yang telah dibina dan ada penghuni (tuan rumah a.k.a tuan tanah).

“Mak aku pun pergilah jumpa tuan tanah tu dan bertanya. Diringkaskan cerita, tuan tanah tu kata itu tanah dia. Siap tunjuk geran (geran tampal) dan mak aku pun tunjuk geran asal yang mak aku pegang dah berpuluh tahun. Siap bayar cukai tanah. Haa, macam mana tu?,” tulisnya.

Tambah Amar, arwah ayahnya, Mohd Baharin Amir pernah merujuk perkara itu di Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri Selangor, namun sehingga kini masih belum menemui jalan penyelesaiannya.

“Mereka janji akan menggantikan tanah mak aku dengan tanah yang lain. Tapi sampai sekarang masih belum ada jawapan dan bila ditanya tentang update terbaharu mereka kata Selangor dah tak ada tanah kosong (untuk digantikan),” jelasnya.

Dalam pada itu, Amar turut mempersoalkan identiti pihak yang bertanggungjawab meluluskan geran kedua kepada individu lain meskipun ibunya belum pernah menjual tanah tersebut.

“Persoalannya, siapa yang meluluskan geran kedua untuk individu lain sedangkan tanah milik mak aku ni belum dijual atau ditukar nama kepada sesiapa? Bayaran penjualan tanah itu diberi pada siapa?

“Cukai tanah yang mak aku bayar tiap-tiap tahun tu macam mana? Adakah pihak yang satu lagi pun bayar cukai tanah yang sama?,” soalnya.

Menyedari perkongsian itu, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari telah meminta pelakon itu berkongsi maklumat lengkap geran dan lot tanah tersebut kepadanya untuk membantu siasatan.

“DM detail nombor geran dan lot nanti saya siasat,” katanya di ruangan komen.

Fatin Nurain