Ambil Tugas Jaga ‘External Affairs’ & Jadi Benteng Zahid Hamidi, Nurulhidayah Rasa Berbaloi Walaupun…

Anak kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi, Datuk Nurulhidayah Zahid tidak kisah dihentam oleh segelintir warganet apabila dia menjadi orang kuat demi mempertahankan bapanya.

Menerusi perkongsian Nurul di laman Instagram miliknya, sebagai anak sulung daripada lima adik beradik, dia mengakui tugasnya adalah untuk menjaga hubungan luar demi keluarga malah dia tidak kisah sekiranya tindakannya itu mendapat kecaman kerana dia antara individu yang paling dikenali.

“Saya (Kak Long) akan menjaga benteng dari luar dan adik saya (anak kedua) akan menjaga dari dalam. Segala keperluan, kesihatan, makanan dan apa sahaja ‘Internal Affairs’ dia akan jaga.

“Itu sebab saya yang paling dikenali dan paling teruk kena hentam. Saya tak kisah kerana saya rasa berbaloi untuk saya ambil tugas menjaga ‘External Affairs’ demi abah dan mak serta keluarga,” tulisnya.

 

Sementara itu, Nurul berkata, perkhabaran gembira yang diterima mereka sekeluarga dianggap sebagai ‘amanah tambahan’ dari Allah untuk memastikan bapanya sentiasa sihat dan tenang dalam menjalankan tanggungjawabnya demi negara.

“Alhamdulillah atas kurniaan rezeki daripada Allah buat kami sekeluarga. Perkhabaran paling baik buat kami sekeluarga, diterima, sebagai ‘amanah tambahan’ dari Allah untuk memastikan Abah sentiasa sihat dan tenang dalam menjalankan tanggungjawabnya,” katanya.

Terdahulu, Datuk Seri Zahid Hamidi diumumkan menjadi Timbalan Perdana Menteri (TPM) di bawah kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat lalu.

Salma Syahbuddin