Amira Othman Tak Mahu Karya ‘Asal Boleh’

Pelakon Amira Othman mengakui perlu menunggu lagu yang sesuai sebelum kembali aktif semula.

Kata penyanyi berusia 26 tahun ini, dia tidak berniat menyepikan diri dalam dunia nyanyian namun menunggu waktu yang sesuai.

“ Saya tidak mahu hasilkan sesuatu sekadar tangkap muat. Hampir setahun tidak keluar dengan single, saya mahu pastikan single seterusnya lebih baik daripada sebelum ini. Biar lambat asal momentum kekal,” katanya kepada XTRA.

Amira turut memaklumkan dia bakal tampil dengan single bersama adiknya, Irfan Haris berjudul Sambil.

“ Genre lagu ini berlainan dengan lagu-lagu sebelum ini. Jika tiada aral, Insya Allah lagu ini boleh didengar hujung bulan ini,” katanya. 

Terdahulu, Amira pernah tampil dengan single Hati-Hati dan Jaga-Jaga yang menaikkan namanya dalam industri muzik tanah air.

Diusik sama ada hati Amira atau nama sebenarnya Nadia Amira Othman ini sudah terisi, gadis tinggi lampai ini memberitahu dia masih solo buat masa ini.

” Saya ramai kenalan lelaki cuma yang special belum ada lagi. Insha Allah kalau ada jodoh dengan lelaki yang boleh terima saya seadanya, sudah tentu saya akan kongsikan hal ini dengan para peminat. 

” Buat masa ini, masih selesa solo,” akhirinya yang mengakui dirinya seorang yang kuat cemburu.  

SGMS Faida