Anak-Anak Trauma, Tak Izin Shuhada Kahwin Lagi? – “Memang Ada Yang Mendekati Tapi…”

Bekas isteri pelakon Hafidz Roshdi, iaitu Nurul Shuhada Mat Shukri mengaku belum bersedia untuk berkahwin lagi selepas kontroversi yang melanda rumah tangganya sebelum ini.

Katanya, keputusan tersebut dibuat dek kerana anak-anaknya juga masih berasa trauma dan bimbang dirinya disakiti lagi.

“Saya akui masih trauma dan takut selepas apa yang terjadi kepada saya.

“Anak-anak trauma dan tak izin saya kahwin lagi kerana risau salah pilih pasangan.

“Saya memang hendak jaga emosi anak-anak dan berikan kebahagiaan kepada mereka. Saya tak mahu mereka membesar dalam keadaan tidak baik,”katanya.

Dalam pada itu, Shuhada bagaimanapun tidak menolak kemungkinan sekiranya pada masa hadapan, dia dipertemukan dengan  jodoh yang baik.

“Tidak dinafikan memang ada yang cuba mendekati saya dan anak-anak.

“Tapi,  saya anggap hanya kawan sahaja sebab hendak  mulakan hubungan baru perlulah sembuhkan diri sendiri dulu.

“Sekarang ini bukan menjadi keutamaan saya untuk mencari pengganti mahupun kejar dunia sebab apa yang penting, didik anak-anak.

“Saya mahu jaga mereka sebaiknya sebab tak mahu mengulangi kesilapan macam saya dulu. Kalau boleh mahu capai cita-cita tertangguh,”ulasnya.

Sekadar info, Shuhada dan Hafidz mendirikan rumah tangga pada 30 April 2016.

Bagaimanapun, pada 22 Februari tahun lalu Hafidz dilaporkan melafazkan cerai terhadapnya melalui panggilan telefon di hadapan keluarga masing-masing.

Nurul Shuhada kemudian memfailkan pengesahan lafaz cerai di Mahkamah Tinggi Syariah, Shah Alam pada 28 Februari tahun lalu.

Pada Selasa, Shuhada hadir di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu bagi perbicaraan pertama kes dicederakan bekas suaminya.

Namun, kes tersebut terpaksa ditangguhkan pada 2 dan 3 Julai depan susulan masalah kesihatan yang dihadapi pelakon itu sehingga tidak dapat menghadirkan diri ke mahkamah.

 

Sumber: Berita Harian

Salma Syahbuddin