Anak Tiri Kahwin Dengan Suami Orang Di Thailand, Bapa Tiri Marissa Enggan Ulas – “Lebih Baik Tanya Norman”

Nama anak pelakon Norman Hakim dan Abby Abadi, Marissa Dania Hakim kembali hangat diperkatakan sejak semalam selepas timbul dakwaan dia sudah berkahwin dengan suami orang, Aslam di Thailand, pada Disember lalu.

Memetik laporan Kosmo! Online, bapa tiri Marissa, Muhammad Faizal Zakaria yang berjaya dihubungi akhbar itu sempat mengulas isu berkenaan, namun dia lebih selesa perkara itu ditanyakan terus kepada Norman.

“Lebih baik tanya Norman sendiri. Saya rasa saya bukan orang yang tepat untuk menjawab persoalan tersebut,” katanya.

Setakat ini, Norman mahupun Abby masih lagi belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung kontroversi anak perempuan mereka  itu.

Terdahulu, Marissa dan Aslam dikhabarkan sudah berkahwin di Songkhla, Thailand tanpa pengetahuan Norman dan Abby.

ARTIKEL BERKAITAN: Jadi Isteri Kedua, Marissa Dania Nikah Di Thailand Tanpa Pengetahuan Norman Hakim & Abby Abadi?

Malah, sumber turut menyatakan perkahwinan tersebut turut dilakukan tanpa pengetahuan isteri pertama Aslam, Misya Mazlan.

Pada September lalu, nama pasangan ini menjadi bahan bualan hangat selepas Misya mendedahkan kecurangan suaminya bersama Marissa sehingga menyebabkan perceraian.

Namun, Misya dan Aslam dikatakan sudah rujuk semula selepas kontroversi tahun lalu reda.

ARTIKEL BERKAITAN: Kakak Isteri Pertama Sahkan Marissa Dania Kahwin Dengan Aslam Di Thailand Sebagai Isteri Kedua!

Sumber: Kosmo! Online

Fatin Nurain