Categories: HiburanTrending

Anggota Kumpulan Nasyid Saujana, Dr Idzu Terima Anugerah Pencapaian Tertinggi di Konvokesyen

Anggota kumpulan nasyid Saujana, Dr Idzu Baharin, 42, menerima Anugerah Pencapaian Tertinggi (High Achiever Award -Top in Class) pada konvokesyen European International University, Paris cawangan Kuala Lumpur dan International Institute of Wellness & Aesthetic Medicine.

Penyanyi yang kini bergelar usahawan berjaya itu dianugerahkan atas kejayaan dan pencapaian dalam bidang Professional Diploma in Advanced Aesthetics, Assured by City & Guilds of London Institute.

Idzu atau nama sebenarnya Khairul Idzwan Baharin berkata, usia bukan penghalang untuk dirinya atau sesiapa saja menuntut ilmu sekali gus memajukan diri dan menjadi inspirasi kepada orang lain.

“Dengan anugerah dan pencapaian diraih ini, saya ingin membukitikan usia bukan penghalang untuk terus menuntut ilmu. Malah generasi muda tidak sepatutnya pernah berhenti belajar atau putus asa walaupun sudah berusia atau sudah berjaya dalam apa peringkat pengajian sekali pun.

“Ilmu ini sangat luas dan kita mesti sentiasa dahagakan ilmu. Jadi, adik-adik atau sesiapa saja mungkin cara pembelajarannya lain sikit dengan adanya media sosial. Tapi jangan anggap ilmu itu sudah tidak penting. Ilmu dan sistem pendidikan masih lagi penting,” katanya.

Menurutnya yang juga pemilik syarikat Cell Tissue Sdn Bhd, teknologi yang ada perlu dimanfaatkan sebaiknya dalam apa juga perkara termasuk pembelajaran.

“Kita perlu menjadikan teknologi yang ada sekarang ini sebagai pelengkap dan bukannya pilihan. Keduanya mesti ada.

“Pembelajaran secara formal perlu ada dan dalam masa sama penggunaan teknologi juga perlu ada. Kemudian barulah kita boleh tingkatkan taraf diri, pencapaian dan kejayaan,” katanya.

Padin