“Apa Salahnya ‘Belanja’ Sikit…” – Noki Sanggup Turun Berat Badan Untuk Berlakon

Noki atau nama sebenarnya Ahmad Ikhwan Aji, 28, sanggup untuk menurunkan berat badan demi sebuah watak yang akan dilakonkan dalam filem pertamanya iaitu War On Terror.

Penyanyi rap Noki menerima teguran daripada rakan-rakannya yang mengatakan badannya terlalu besar ketika muncul dalam sebuah drama di televisyen.

“Saya mendengar nasihat rakan-rakan yang memberitahu badan saya sebelum ini nampak terlalu besar sebab itu saya turunkan berat badan agar nampak lebih sesuai di depan kamera.

“Sebelum ini berat badan saya 90 kilogram dan sekarang sudah turun kepada 83 kilogram. Saya amalkan pemakanan sihat serta senaman kardio supaya lebih kurus.

“Semestinya saya sanggup turunkan berat badan kerana mahu lebih serius berlakon selepas ini.” Ujarnya kepada mStar.

Noki yang merupakan salah seorang anggota kumpulan K-Clique ini juga menyatakan yang dia tidak kisah jika menerima tawaran berlakon yang memerlukan dirinya untuk membuka baju.

Malah dia lebih yakin untuk berhadapan dengan orang ramai dan menerima tawaran berlakon dengan berat badan sekarang yang lebih ideal.

“Jika ada watak yang memerlukan saya untuk tayang badan, saya tidak ada masalah untuk buat. Apa salahnya ‘belanja’ sikit.

“Perubahan bentuk badan ini juga membuatkan saya rasa lebih yakin untuk menerima tawaran berlakon selepas ini.” katanya ketika sidang media.

Noki juga merupakan salah seorang artis yang sering berkongsi rutin penjagaan diri di media sosial untuk memastikan penampilan diri terjaga dan menawan sepanjang masa.

Bukan itu sahaja, dia juga gemar mengisi masa lapang dengan bermain bola keranjang sebagai salah satu aktiviti sukan dan beriadah.

Sumber: mStar

Atiqah Johari