Asyik Dapat Watak Jahat, Apa Komen Pablo Amirul?

Pelakon Pablo Amirul menganggap tawaran membawakan watak antagonis yang sering diterima sebagai rezeki.

Pablo atau nama sebenarnya Amirool Hisyam Mohd Sakri mengaku tidak pernah bosan setiap kali membawakan karakter jahat malah menyifatkannya sebagai satu kelebihan.

” Saya tidak pernah bosan bawa watak sama malah berbesar hati. Mungkin sebab fizikal dan wajah saya sesuai dengan karakter antagonis, saya asyik diberi tanggungjawab membawa watak jahat.

” Watak jahat atau baik, saya akan terima dan lebih penting, lakonan saya perlu meninggalkan impak kepada penonton. Mungkin ia juga branding buat saya, bila sebut Pablo, ‘oooo yang selalu jadi jahat tu’,” katanya kepada XTRA.

Menyentuh tentang karier lakonan, Pablo turut mengumumkan bakal menghiasi dua buah filem dan lebih istimewa dia berperanan sebagai hero.

” Dalam dua buah filem itu, saya diberikan ‘mandat’ membawa watak hero. Suatu pengalaman yang berbeza di mana saya tidak lagi membawakan watak jahat.

” Sepanjang tujuh tahun bergelar pelakon, filem ini diibaratkan sebagai ‘penanda aras’ dalam karier seni saya. Penonton bakal melihat sisi lain pula dalam diri Pablo Amirul,” akhirinya.

Tambahnya, Pablo baru sahaja menghabiskan penggambaran filem ‘Infeksi Zombie Belaban Hidup’ arahan Ray Lee. Dalam filem ini, dia membawa watak sebagai pemuda berketurunan Iban bernama Gadang dan filem ini turut menampilkan bintang khas iaitu Pekin Ibrahim dan Altimet. 

SGMS Faida