Atikah Belajar Bahasa Sepanyol Untuk Drama Terbaharu

Pelakon yang berasal dari Singapura, Atikah Suhaime (29 tahun) mengakui watak wartawan yang dipegang dalam drama terbaru lakonannya, arahan Faisal Ishak iaitu Poskad Dari Alhambra agak mencabar kerana wataknya menuntut Atikah supaya fasih berbahasa Sepanyol.

Walaupun pada mulanya, Atikah berasa agak risau jika dia tidak mampu membawa watak wartawan yang telah lama bermastautin di negara Sepanyol itu dengan baik,  tetapi perasaan itu berkurangan apabila pihak produksi menyediakan seorang guru untuk membantunya sepanjang penggambaran berlangsung. 

“Ketika ini, penggambaran sedang berjalan di Singapura dan kami akan berlepas ke Sepanyol, akhir bulan ini untuk menyempurnakan drama bersiri itu.  Kami dijangka berada di sana selama sebulan.

“Saya akui, teruja dapat menimba pengalaman baharu, pada masa sama berdebar kerana banyak babak memerlukan saya fasih berbahasa Sepanyol.  Tambahan pula, banyak babak besar dan penting menanti sepanjang di sana.

“Perasaan risau bagaimanapun, sedikit berkurangan kerana pihak produksi ada menyediakan guru bahasa di set penggambaran nanti.

“Sekiranya ada kemusykilan atau tidak yakin dengan sebutan, saya boleh merujuk kepadanya. Menariknya, drama bersiri itu turut menggabungkan pelakon dari Malaysia, Singapura da Sepanyol,” katanya. 

Atikah atau nama sebenarnya Nur Atikah binti Mohd Suhaime berkata dia agak sibuk memenuhi pelbagai tawaran sepanjang tahun ini dan kerap berulang-alik antara Malaysia, Singapura dan Indonesia untuk menjalani penggambaran, malah dua filem terbarunya yang akan menyusul dalam masa terdekat adalah terbitan produksi Indonesia berjudul Kajeng Kliwon dan Tantiana, kedua-duanya filem bergenre seram. 

Del14