Awie Jawab Dakwaan Isu Konsert Di Kelantan – “Jangan Salahkan Wings”

Raja Rock Malaysia, Datuk Awie tampil menjelaskan dakwaan kumpulan Wings yang dikatakan bertentangan dengan pembangunan Islam ketika membuat persembahan pada sebuah konsert di negeri kelantan.

Awie berkata, tiada masalah jika sedikit hiburan diberikan kepada rakyat negeri itu selain turut mengingatkan agar ahli politik tidak terlalu cepat menghukum sesuatu perkara.

“Bagi saya mudah sahaja, kalau manusia itu betul-betul mahu berubah bukan setakat kepada sesuatu yang jahil, mengisi sedikit ruang untuk berhibur adalah tidak salah.

“Untuk rakyat di sana, supaya tidak pergi ke seberang (Thailand) berhibur sehingga tidak tentu arah dan memberi kesan teruk, lebih baik duduk berhibur di negeri sendiri, lagi terjaga dan terjamin.

“Jangan terlalu ekstrim menghalalkan atau mengharamkan sesuatu perkara itu, bagi peluang dan ruang untuk mereka merasa sebelum ada perkara negatif berlaku,” katanya.

Awie atau nama lengkapnya Ahmad Azhar Othman, juga menyesal apabila penganjuran konsert berkenaan dikatakan punca kerosakan akhlak rakyat di negeri berkenaan.

“Jangan salahkan Wings yang hanya datang sehari dan buat persembahan di negeri itu, rakyat negeri itu terus itu jadi jah*nam, tidak boleh begitu.

“Ini sebenarnya permainan politik, jangan dengan penganjuran konsert begini dijadikan permainan politik, tidak elok.

“Sebaliknya gunakan kelebihan ahli politik yang ada untuk membantu negeri itu menjadi lebih baik, agar rakyat terjamin.

“Kalau nak cerita tentang masalah yang ada di situ, memang dah sedia ada banyak kes dah dengan pelbagai jenayah, itu yang perlu diambil kira bukan sebab konsert itu, lagipun konsert tersebut sudah ada SOP yang ditetapkan,” tambahnya.

Sebelum ini ada sesetengah pihak mendakwa penganjuran konsert di negeri Kelantan itu bertentangan dengan dasar “Membangun Bersama Islam” yang dipegang pihak berkenaan.

Difahamkan konsert berkenaan dihadiri lebih 20,000 pengunjung itu turut menampilkan Datuk Ramli Sarip, Kugiran Masdo, Faizal Tahir dan ramai lagi.

Sumber: Gempak

Khairil Khusyairi