‘Ayden Akan Sentiasa Jadi Cahaya Hidup Kami’- Ibu Aliff Aziz Luah Rasa Sayu

“Dengan segala ujian dan dugaan, ‘benda’ terbaik Allah kurniakan ialah cucu kami, sangat berharga,” tulis ibu penyanyi Aliff Aziz, S Hafiza Basharahil di laman Instagram, lewat malam tadi.

Kata-kata itu dipercayai merujuk kepada cucunya, Mohamad Ayden Adrean selepas berlakunya penceraian antara Aliff dan Bella Astilah semalam.

“Ayden akan sentiasa menjadi cahaya hidup kami walaupun kita tidak dapat melihat anda membesar pada masa akan datang.

“Umi Wan dan Tok Ayah akan sentiasa mendoakan Ayden dari jauh agar menjadi insan yang hebat suatu masa nanti.

“Apa pun yang akan diperkatakan, kami semua sayang Ayden terutama Daddy (Aliff Aziz). Semoga Ayden membesar dengan sihat dan sentiasa bahagia,” tulisnya lagi.

Dalam status sama, Hafiza turut memuat naik foto cucunya yang kini berusia dua tahun itu berserta tanda pagar #tiadatalakantaraayahdananak #tiadatalakantaracucudanatoksertaninda #allahknowsbest #redhadantawakkal

Bagi Hafiza, tiada istilah ‘talak’ antara anak dan ayah, dan juga dengan nenek dan datuk.

Semalam, Aliff melafazkan cerai talak satu ke atas Bella di hadapan Hakim Syarie Izzat Syazli Murshid selepas mahkamah membenarkan permohonan cerai difailkan Bella atau nama sebenarnya, Dayang Nabellah Awang Astillah, 25.

Bella memfailkan permohonan cerai pada 21 Mac lalu mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984.

Aliff dan Bella mendirikan rumah tangga pada 9 September 2016 dan dikurniakan seorang anak lelaki, Ayden Adrean yang kini berusia dua tahun.

Oleh: Endy Ashari

SGMS Faida