Azhan Rani Sesuaikan Diri Jaga Ibu Sedang Sakit, Sempat Titip Pesan: “Kena Buang Rasa Malu, Kotor Atau Geli”

Pelakon Azhan Rani memaklumkan keadaan terkini ibunya yang masih dirawat di hospital selepas dilaporkan pengsan tiga kali di rumah.

Menurut Azhan, dia berkongsi bahawa dia perlu menjaga ibunya yang kini berusia 77 tahun dan masih menyesuaikan diri dengan keadaan tersebut serta berharap ibunya kembali pulih.

“Saya mengharapkan dia kembali seperti dahulu tapi memang susah dengan keadaan dan umur terkini dia yang tak segagah dahulu.

“Sekarang ibu saya dah tak boleh berdiri, bangun dan jalan seperti dulu. Kena diuruskan semuanya, pakai lampin dan sebagainya.

“Kena lebihkan masa pada dia tapi dalam masa sama saya perlu bekerja juga untuk sara kehidupan. Jadi saya dalam proses untuk menyesuaikan diri,” katanya ketika ditemui XTRA, baru-baru ini.

Berkongsi lebih, Azhan memaklumkan pelbagai jangkitan boleh terjadi kerana ibunya kini hanya baring sahaja dan sedang menjalani rawatan fisioterapi dan pemulihan.

“Ibu saya mengalami darah rendah, kencing manis tapi semuanya terkawal. Tempoh hari dia jatuh tiga kali di rumah dan sebelum ini juga pernah jatuh. Selera makan dan berat badan juga dah kurang.

“Lagi dia ada jangkitan di paru-paru, hati dan hempedu. Sekarang ini dia hanya baring sahaja dan potensi untuk berjangkit dengan macam-macam lagi penyakit itu tinggi.

“Sekarang ini dia hanya rehab untuk terima keadaan sekarang dan fisioterapi sahaja,” kongsinya lagi.

Dalam pada itu, pelakon drama fenomena Nur itu mengakui emosinya bercampur baur malah sudah boleh menerima keadaan tersebut.

“Kami adik-beradik bergilir untuk jaga ibu, saya ambil keputusan untuk bermalam sahaja sebab saya tak berkeluarga jadi saya ada ruang dan masa yang lebih.

“Emosi bercampur baur itu memang sentiasa ada, antara watak dan diri sendiri ia dua emosi yang berbeza. Sampai hari ini saya dah boleh terima keadaan ini. Kadang-kadang saya jaga ibu saya pun rasa macam berlakon.

“Tapi saya selalu pesan pada diri saya yang ini bukan berlakon,” kongsinya.

Azhan turut menitipkan pesan buat semua agar buang rasa malu untuk menjaga ibu yang sedang uzur.

“Nak uruskan ibu yang sudah tua dan sakit sememangnya bukan mudah. Apatah lagi bila anak-anak lelaki nak menjaga orang perempuan.

“Kena buang rasa malu, kotor atau geli nak bersihkan najis. Anak-anak di luar sana, kalau kita rasa itu susah, itulah yang ibu kita hadap dahulu,” titipnya.

Khairil Khusyairi