Baby Shima Fail Saman Fitnah Terhadap PU Syed & Ketua Pemuda PAS Kuantan

Penyanyi popular Baby Shima tampil memfailkan saman terhadap Syed Mohd Bakri Syed Ishak atau lebih dikenali sebagai PU Syed dan Abd Rahman Mat Noor, Ketua Pemuda PAS Kuantan.

Menurut peguam mewakili Baby Shima, Muhammad Noor Azfar Noor Azmi dalam satu kenyataan berkata, tindakan kedua-dua individu terbabit telah difailkan di Mahkamah Tinggi Ipoh dan Mahkamah Tinggi Kota Bharu.

Menurut Noor Azfar , ia difailkan di atas kausa tindakan saman fitnah (defamation) dan kepalsuan berniat jahat (malicous falsehood).

“Setakat tarikh kenyataan ini, proses penyerahan kertas-kertas kausa kepada individu-individu yang dinamakan di atas sedang dilaksanakan bagi maksud memenuhi keperluan undang-undang.

“Anakguam kami tidak berhajat untuk mengulas lebih lanjut berkenaan dengan merit tindakan-tindakan ini,” katanya.

Dalam pada itu, Noor Azfar berkata pihaknya turut menerima arahan untuk mengambil tindakan dalam masa terdekat ini terhadap beberapa individu dan syarikat lain yang telah terlibat dalam menyalahgunakan nama anakguam kami bagi tujuan komersil

“Anakguam kami merizabkan haknya untuk meneruskan apa-apa tindakan terhadap mana-mana pihak yang terlibat mengikut lunas undang-undang negara,” katanya.

Langkah tersebut dibuat bagi menghormati proses Mahkamah dan mengambil kira bahawa individu-individu yang dinamakan di atas masih belum menerima kertas-kertas kausa yang difailkan.

Terdahulu, Baby Shima mendapat perhatian panas apabila penampilannya bertudung ketika menjayakan sebuah persembahan sempena sambutan Israk Mikraj di Kuantan, Pahang, dipertikai sehingga dituduh menjual agama.

Khairil Khusyairi