Badan Masih Kuat, Cef Wan Tak Mahu Serina Teman Jalani Kemoterapi… Syukur Sel Kanser Belum Serang Organ

“Saya hormati permintaan papa. Dia (Cef Wan) cakap dia masih kuat,”

Demikian respons Serina Redzuawan yang terpaksa menerima keputusan bapanya, cef selebriti terkenal Datuk Redzuawan yang tidak mahu sesiapa menemaninya di hospital.

Dijangkiti sel kanser limfoma, Serina bagaimanapun meluahkan rasa bersyukur apabila sel kanser limfoma tersebut belum menyerang organ dan otak bapanya.

“Alhamdulillah, papa beritahu kanser masih peringkat permulaan. Maksudnya, tiadalah tahap berapa.

“Saya bersyukur kanser belum merebak ke organ lain. Kena ingat sel kanser ini jahat dan boleh merebak dengan sangat cepat,” katanya.

Serina berkata dia sudah mendapat keizinan suami untuk menjaga bapanya, namun Cef Wan tidak bersetuju kerana keadannya tidak teruk sehingga perlu terlantar.

“Saya duduk di Perlis, disebabkan jauh, saya selalu mesej papa, lebih lagi, sesi kemoterapi kitaran keempat lebih kuat, jadi papa pening dan sesak nafas.

“Keadaan ini membuatkan saya lebih risau. Saya ada datang melawat papa di Kuala Lumpur dan beritahu papa suami izinkan saya menjaganya di hospital. Namun, papa tak setuju kerana keadaannya belum lagi terlantar.

“Doktor pun tak sarankan keluarga temankan di hospital kerana sekarang banyak kes penyakit merebak.

“Sedih juga bila papa tak izin menjaganya. Sebagai anak, saya boleh tinggal semua benda dan berada di sisi papa.

“Tetapi, saya perlu memahami kehendak papa, dia cakap masih kuat,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Aqilah Paharuzi