Bakal Adakan Konsert, Impian Andmesh Kamaleng Hiburkan Peminat Di Malaysia Tercapai

Setelah lama menyimpan hasrat untuk mengadakan konsert di Malaysia, penyanyi dan penggubah lagu popular, Andmesh Kamaleng bakal mengadakan konsert di Kuala Lumpur pada Jun ini.

“Tidak sabar rasanya hendak menghiburkan peminat di Malaysia pada bulan Jun ini dalam sebuah konsert istimewa yang bertemakan cinta.

“Ini merupakan konsert pertama saya di Malaysia dan sudah lama saya idamkan untuk membuat persembahan di sana,” katanya.

Andmesh turut membawa pemuzik dari Indonesia bagi memberi kesan yang mendalam kepada peminat dalam persembahannya pada malam itu nanti.

“Seramai 6 orang pemuzik profesional dari Indonesia bakal mengiringi saya ketika konsert itu nanti yang dijangkakan berlangsung selama 2 jam dengan kurang lebih 15 buah lagu yang dipersembahkan.

“Konsep konsertnya nanti bertemakan cinta, saya mahu kesemua penonton konsert yang hadir merasakan ‘cinta’ melalui muzik, lirik dan nada yang saya bawakan.

Andmesh berkata, segala persiapan menuju konsert sedang dijalankan dan ‘team; Andmesh memastikan setiap pengunjung konsert merasai pengalaman yang maksimal.

“Istimewanya pada konsert itu nanti, susunan muziknya juga akan mengalami perubahan, khas untuk peminat-peminat di Malaysia, jadi rugi bagi siapa tidak menghadirkan diri.

“Pastinya ada juga kejutan yang dipersembahkan nanti dan kalau hendak tahu kenalah beli tiket konsert nanti.

“Saya berharap agar pengunjung konsert terkesan dengan lagu-lagu yang saya persembahkan, merasakan cinta dengan karya-karya saya, dan pulang ke rumah dengan memori yang indah,” ujarnya lagi.

Nurul Hana