Bakal Bernikah Hari Ini, Shuib & Watie Menghitung Detik Bahagia – “Moga Allah Permudahkan Segalanya Buat Kita”

Bersilih ganti debaran menanti usahawan dan selebriti popular, Shuib apabila dia bakal menamatkan zaman dudanya hari ini di Putra Glass House, Putra Height.

Bakal diijabkabulkan dengan wanita pilihannya yang juga seorang usahawan bernama Watie Hanifiah, Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhammad, sekali lagi bakal mendirikan rumah tangga selepas pemergian isterinya, Siti Sarah Raisuddin, dua tahun lalu.

Menjengah ke profil bakal mempelai ini, Shuib ada membuat perkongsian di Instagram (IG) miliknya dengan memaparkan foto dirinya tersenyum.

Lebih manis, foto tersebut turut ditag profil IG Watie.

“Bismillah. Salam Jumaat. 23 Jun 2023 @iamwatie,” tulis Shuib ringkas.

Di ruangan komen, Watie turut tampil membalas dengan meninggalkan komen di perkongsian bapa kepada empat cahaya mata itu.

Watie atau nama sebenarnya Fati Nikmatul Adawiyah Hanifiah berharap urusan mereka berdua berjalan lancar.

“Semoga Allah permudahkan segalanya buat kita, counting times,” komen Watie.

Sebelum ini, media melaporkan majlis perkahwinan Shuib dan Watie mendapat tajaan bernilai lebih RM1 juta.

Menurut Shuib, majlis pernikahan mereka akan berlangsung secara sederhana tanpa majlis resepsi sebaliknya mahu meraikan kedua-dua ahli keluarga.

Shuib dan Watie mengikat tali pertunangan pada 6 Mei lalu dalam satu majlis tertutup.

Shuib pernah mendirikan rumah tangga bersama penyanyi, Allahyarham Siti Sarah Raisuddin pada 2011 dan dikurniakan empat cahaya mata iaitu Uwau Alqarni, 11, Dzahira Talita Zahra, 9, Ariq Matin, 6, dan Ayash Affan 2.

Allahyarham Siti Sarah menghembuskan nafas terakhir pada 9 Ogos 2021 akibat jangkitan COVID-19.

Khairil Khusyairi