Bantu Selagi Mampu…Ini Janji Jamal Abdillah

Penyanyi terkenal, Datuk Jamal Abdillah mengaku tidak akan melupakan jasa rumah Pengasih yang banyak membentuk diri serta peribadinya pada hari ini.

Kata beliau ketika ditemui di sidang media program Malam Amal Pengasih di rumah Pengasih, dia akan tetap membantu selagi mampu untuk rumah berkenaan.

“Pengasih ajar saya erti kehidupan sebenar. Mana mungkin saya lupakan jasa mereka terhadap saya. Saya akan bantu apa yang patut untuk Pengasih.

“Saya dan Man Bai akan membuat yang terbaik pada malam program Malam Amal Pengasih itu nanti,” katanya.

Malam Amal Pengasih yang akan berlangsung di Hotel Istana, Kuala Lumpur pada 17 November ini diadakan untuk mengumpul dana untuk menyiapkan fasiliti Rawatan & Pemulihan Dadah Pengasih di Cinta Manis, Bentong, Pahang.

“Saya akan menyanyikan beberapa buah lagu popular selama 40 minit. Saya berharap peminat dapat menyokong usaha pihak Pengasih dalam mengutip dana bagi membiayai pembinaan fasiliti di situ,” katanya yang pernah terlibat dalam projek amal sebegini, sebelum ini.

Tiket untuk menyaksikan Malam Amal Pengasih bermula daripada RM300 hingga RM2,000 mula dijual kepada peminat.

Difahamkan, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku penaung Malam Amal Pengasih akan hadir merasmikan program itu.

Maklumat lanjut mengenai tempahan meja untuk malam amal tersebut serta sumbangan dana boleh didapatkan dengan menghubungi;

1) Atiqah Yusuf (010-393 5140)

2) Abdullah Ghani (011-2384 7617)

3) Khairul Baharuddin (011-6074 7403)

SGMS Faida