“Banyak Barang Baby Nak Bagi Dia…” – Anzalna Nasir Sedia Hulur Bantuan Buat Abang Rider Gendong Anak

Ketika kita hidup selesa, masih ramai lagi masyarakat di luar sana yang berhempas pulas untuk mencari rezeki demi meneruskan kehidupan.

Justeru, sikap prihatin yang ditunjukkan oleh pelakon Anzalna Nasir sekali lagi mencuri tumpuan apabila dia sedia menghulurkan bantuan terhadap seorang penghantar makanan yang tular baru-baru ini kerana mencari rezeki sambil menggendong anaknya.

Menerusi hantaran pelakon itu di Instagram Story miliknya, Anzalna dilihat mahu menghulurkan sumbangan dari segi keperluan bayi sekiranya anak abang rider tersebut adalah lelaki.

Anzalna atau nama sebenarnya, Nur Anzalna Md Nasir berkata, pelbagai barangan bayi boleh disumbangkan kepada abang rider tersebut memandangkan dirinya kini memiliki dua cahaya mata lelaki.

“Anak abang ni lelaki ke? Kalau lelaki boleh datang ke rumah Anzalna banyak barang-barang baby nak bagi kat dia..” tulisnya.

Sementara itu, pelakon drama Aku Isterinya ini turut meluahkan penghargaan kepada pendakwah bebas, Ustaz Ebit Lew yang tampil segera memberikan bantuan berupa sebuah motosikal baharu kepada rider berkenaan sebaik sahaja kisahnya tular di media sosial.

“Hanya Allah yang dapat membalas jasa Ebit Lew. Rezeki abang ni dapat motor baru,” tulisnya lagi.

 

 

Salma Syahbuddin