Barisan Penyanyi Hebat Tanah Air Warnai Konsert Semalam Di Malaya

Penyanyi Aishah bakal menghiburkan peminatnya di Konsert Semalam Di Malaya bersama Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) bersempena sambutan Hari Malaysia.

Tidak hanya keseorangan, Aishah bakal beraksi di samping Musly Ramlee, Liza Hanim dan Rachel Guerzo Trio.

Akui Aishah, dia cukup teruja untuk kembali ke pentas berprestij ini.

“ Sebelum ini, saya pernah membuat persembahan di pentas yang sama pada 2009 ketika menjayakan Konsert Irama Warisan diiringi MPO. Hampir sedekad tidak beraksi di situ, perasaan gementar sudah pasti ada,” katanya.

Pada acara konsert berdurasi dua jam itu, Aishah bakal mempersembahkan beberapa lagu antaranya Setangkai Kembang Melati.

Dalam pada itu, penyanyi Liza Hanim meluahkan kegembiraan apabila impiannya untuk membuat persembahan bersama Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) dimakbulkan.

“ Sudah tentu saya seronok tetapi dalam masa sama saya gementar. Ini impian saya sejak dahulu lagi. Alhamdulillah, akhirnya termakbul jua.

“ Sudah tentu saya berasa gemuruh memandangkan ini pertama kali saya beraksi di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) yang menjadi gelanggang ramai pemuzik hebat,” katanya yang bakal membawa beberapa buah lagu malar segar di konsert itu nanti.

Liza juga meletakkan harapan agar persembahan ini dapat menarik penonton dari semua peringkat generasi untuk datang menyaksikannya.

Harga tiket adalah RM358 untuk tempat duduk Premium, RM254 (A Reserve), RM198 (B Reserve) dan RM141 (C Reserve).

Konsert Semalam di Malaya akan berlangsung pada 15 dan 16 September ini bertempat di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), Kuala Lumpur.

SGMS Faida