Baru Satu Hari Tayangan, Filem Polis Evo 3 Kutip RM3.4 Juta!

Filem terbaru arahan pengarah Syafiq Yusof, Polis Evo 3 yang baru sahaja ditayangkan pada Khamis telahpun mengaut kutipan sebanyak RM3.4 juta.

Ia sekaligus mengetepikan pungutan filem antarabangsa popular, Fast X apabila memperolehi kutipan dua kali ganda dan mendominasi carta kutipan pawagam.

Menurut Penerbit Eksekutif Polis Evo 3, Raja Jastina Raja Arshad, dia menganggap kejayaan filem berkenaan sebagai permulaan baik serta membuktikan filem tempatan mampu menawan hati dan memberi saingan sengit kepada judul antarabangsa.

“Syukur Alhamdulillah, sokongan penonton terhadap Polis Evo 3 amat luar biasa. Kami amat berbesar hati apabila peminat memilih karya tempatan untuk dijadikan tontonan.

“Momentum positif ini membuktikan penonton kita masih meletakkan kepercayaan pada karya tempatan. Kami harap peminat berpuas hati serta terhibur selepas menonton filem Polis Evo 3.

“Saya ingin ucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang menonton Polis Evo 3 di pawagam,” katanya.

Difahamkan, jumlah kutipan tersebut termasuk jumlah yang diperolehi  pada sesi tayangan awal atau ‘sneak preview’ filem terbabit pada Rabu lalu.

Selain Zizan dan Shaheizy, Polis Evo 3 menampilkan Sharnaaz Ahmad, Nora Danish, Syafiq Kyle, Farali Khan, Douglas Lim, Fauzi Nawawi, Fezrul Khan, Eyka Farhana dan ramai lagi.

Sekadar info, filem Polis Evo yang ditayangkan pada 2015 telah mencatat rekod sebagai filem tempatan pertama menembusi kutipan box office dengan lebih RM18 juta, manakala Polis Evo 2 yang ditayangkan pada 2018 berjaya mengumpul kutipan lebih RM23 juta.

 

Sumber: Berita Harian

Salma Syahbuddin