Syafi Tee Terpaksa Pindah Keluar Rumah, Tak Mahu Tengok Ibu Bapa Sedih Gara-Gara Kontroversi Lalu – “Setiap Hari Saya Depress”

Pelakon Syafi Tee mendedahkan dia kini tinggal sendirian selepas membuat keputusan untuk berpindah keluar dari rumah keluarganya.

Hal ini berikutan kontroversi yang menimpanya sebelum ini dan tidak mahu melihat ibu bapanya bersedih dengan perkara tersebut.

Syafi atau nama lengkapnya Mohd Syafi Mohd Ridhuan Tee, turut memaklumkan hampir setiap hari dia bersama lemah dan tertekan.

“Bila kontroversi itu berlaku, saya pindah keluar rumah. Sebab saya tak sanggup nak tengok wajah ibu bapa dan keluarga saya. Saya tak tahu apa persepsi mereka terhadap saya.

“Setiap hari saya alami depress sangat-sangat, dan setiap hari juga saya lemah dan saya cuba untuk bangkitkan diri sendiri kerana saya tiada pertolongan sesiapa.

“Hanya saya dan Allah sahaja yang faham diri saya,” luah Syafi.

Anak kepada pendakwah, Profesor Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah, ini reda dengan dugaan tersebut malah mahu meneruskan kehidupan dengan tenang tanpa bermusuh.

“Saya mahu terus kuat dengan apa benda yang berlaku sekalipun. Saya kena berdepan dengan ketakutan saya sendiri , ego saya sendiri dan jumpa dengan orang bercakap buruk tentang saya.

“Bila perkara itu terjadi, saya cuma reda dan pasrah. Mungkin itu adalah ujian daripada tuhan. Saya teruskan kehidupan saya macam biasa sekarang.

“Tak perlu nak dengki-dengki dengan orang dan bermusuh. Saya tak tahu apa sebenar niat seseorang itu kepada saya. Saya merelakan apa yang dia lakukan kepada saya,” jelasnya.

Mahu bangkit dari episod hitam lalu, Syafi kini bersedia untuk berdepan orang ramai dan bina semula kerjaya dalam bidang seni.

“Menyendiri bukan diri saya. Saya tak suka perkara itu. Sebenarnya ia membawa kepada keresahan dan tekanan.

“Saya cuma mahu harungi semua ini dan bersama kehidupan saya, dan apa yang saya boleh cakapkan ini adalah saya yang baru,” tutupnya positif.

Untuk rekod, nama Syafi Tee menjadi bualan hangat apabila terpalit dengan kontroversi dia berpelukan dan bercium dengan kekasihnya sehingga mengundang kecaman hebat.

Sumber: mStar

Khairil Khusyairi