Batal Perkahwinan, Awi Rafael Cipta Lagu Untuk Atikah Suhaime?

Peminat hiburan tanah air dikejutkan dengan berita pembatalan perkahwinan pasangan selebriti Awi Rafael dan Atikah Suhaime yang sepatutnya berkahwin esok (17 Mac).

Dalam pada itu, Awi turut membuat kejutan dengan melancarkan sebuah single terbaharu ‘Rahasiaku’ yang sepatutnya dijadikan lagu sempena penyatuan kasih mereka.

Lagu ini dilancarkan pada hari ulangtahun kelahiran Atikah ke-28 iaitu pada hari Jumaat, 15 Mac 2019.

Bagaikan menceritakan kesedihan di dalam hati, lirik yang ditulis seolah menterjemahkan isi hati lelaki itu dalam mengharungi saat sukar ini.

Sebagaimana yang dinyatakan dalam lirik lagu ‘Rahasiaku’ ini ‘kerna Tuhan pasti lebih tahu, apa yg lebih baik untuk diriku, dan dirimu’, Awi menyandarkan seluruh kepercayaannya bahawa ajal maut jodoh pertemuan itu itu di tangan Allah SWT dan turut mengharapkan Allah SWT akan memberikannya jalan yang terbaik untuk keluar dari kemelut yang dihadapinya ini.

Lagu hasil ciptaan Awi dan Edi Hamid ini turut mendapatkan khidmat penerbit terkenal Indonesia, Posan Tobing ini bakal dimuatkan di dalam album terbaharu Awi berjudul ‘Euphoria’.

‘Rahasiaku’ merupakan single terbitan dan edaran Warner Music Malaysia, ia boleh distrim menerusi saluran Youtube Warner Music Malaysia bermula 15 Mac 2019 dan lagu ini boleh didapati di kesemua pelantar digital seperti Spotify, iTunes, KKBox, Deezer, Joox dan juga Apple Music. 

SGMS Faida