Categories: HiburanSelebriti

Bau Badan Dipertikaikan, Khai Bahar Tak Kisah

Nampaknya perkongsian masalah bau badan yang dialami oleh penyanyi, Khai Bahar telah dipertikaikan oleh netizen.

Meskipun dikecam dengan kata-kata negatif, penyanyi itu tidak gentar. Menurutnya, perkongsian itu sekadar renungan dan pendedahan bagi orang ramai menitikberatkan tentang penampilan diri.

“Saya bercerita pernah mengalami masalah bau badan yang dialami ketika zaman belajar dulu. Ketika remaja, biasalah, soal aroma tubuh dipandang remeh.

“Saya hanya mengajak orang ramai menjaga diri supaya tidak timbul masalah bau badan yang kurang menyenangkan.” Katanya

Namun menurut Khai,  setakat ini tiada komen netizen mengenai perkara tersebut yang mengguris hatinya.

“Sebaliknya, rata-rata ramai yang mempersoalkan perkongsian itu. Namun, bagi saya, apa salahnya sesekali terima komen negatif kerana tidak selamanya kita dipuji.

“Memandang dari sudut positif, ia membuka mata netizen mengenai produk deodorant atau sapuan anti peluh yang saya wakili. Tidak ramai yang tahu mengenai produk itu, jadi ini suatu publisiti buat saya.” Katanya

Terbaharu, Khai mengakui teruja apabila namanya sekali lagi tersenarai dalam pencalonan awal Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-31.

“Alhamdulillah… Sukar untuk saya ungkapkan dengan kata-kata gembira. Semuanya hasil usaha peminat yang bertungkus lumus menyokong perjalanan kerjaya saya.

“Biarpun penat berulang-alik bekerja, namun saya menguatkan semangat demi peminat yang tidak pernah jelak memberi sokongan. Cuma saya mohon maaf kepada mereka yang terasa jika saya terlepas pandang komen dan sebagainya.” Kata penyanyi lagu Luluh itu

Mempunyai jadual yang padat, Khai terpaksa mencuri masa untuk membalas semua komen peminat di laman sosial.

“Ada kalanya secara tidak sengaja, saya terlepas pandang,” Jelasnya.

 

Ditulis Oleh : Nik Nur Amira

Ad Ops