Bayi Cukup Sifat Dibuang, Nabila Huda Tinggal Komen Menyayat Hati – “Kita Ni Usaha Nak Dapat Anak”

Baru-baru ini, tular di media sosial sekumpulan pelajar menemui seorang bayi perempuan yang cukup sifat dan masih bernyawa di Taman Bahtera, Kuala Kubu Bharu.

Menerusi video yang tular itu, bayi tersebut ditemui dalam keadaan baik dan berselimut di atas sofa di sebuah kedai makan.

Menurut Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintendan Arsad Kamaruddin, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 9.49 pagi, Sabtu lalu.

“Pemeriksaan oleh pegawai perubatan mendapati bayi itu dalam keadaan sihat dan tiada kesan luka atau gigitan haiwan,” katanya.

Terkini, ibu kepada bayi tersebut telah berjaya diberkas dan kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan.

Hasil tinjauan di ruangan komen Instagram XTRA, video tersebut turut mengundang pelbagai reaksi daripada warganet yang rata-ratanya terkesan dengan perbuatan itu.

Malah, sikap prihatin empat pelajar perempuan tersebut turut dikagumi oleh warganet.

Bukan itu sahaja, pelakon Nabila Huda juga turut terkesan dan meninggalkan komen di ruangan tersebut.

“Kite ni usaha nak dapat anak? di buang-buang je anak macam tu..sampai hati..Mengalir air mata kite,” komen Nabila Huda.

Sebelum ini, Nabila pernah memaklumkan dirinya masih mencuba untuk mendapatkan zuriat selepas 7 tahun berkahwin dengan suaminya, Mohd Izwan Johar.

Memetik laporan Awani, pelakon itu juga enggan melakukan kaedah persenyawaan in vitro (IVF) kerana mereka berdua tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan.

Sumber: Harian Metro & Awani

Fatin Nurain