Bekas Kekasih Meninggal Di Indonesia, Hafiz Hamidun Tak Serik Nak Kahwin

Meskipun sudah tujuh tahun berstatus duda dan melalui pelbagai episod hitam dalam percintaan, penyanyi dan komposer Hafiz Hamidun tidak serik untuk berkahwin lagi.

Memetik laporan Harian Metro, dia tidak pernah putus asa dan bersedia untuk mengakhiri zaman duda sekiranya bertemu dengan wanita yang menepati kriteria.

Malah, faktor anak angkatnya, Hamdee yang kini sudah menganjak usia empat tahun juga memerlukan perhatian daripada seorang ibu.

“Buat masa ini belum ada calon lagi. Jika ada pasti saya tidak berahsia mengenainya.

“Apatah lagi, anak saya juga sudah semakin besar dan memerlukan belaian seorang ibu. Mujur ada ibu bapa yang membantu saya mengendalikan anak saya yang semakin cergas dan sedang membesar,” ujarnya.

Menurutnya, dia pernah menjalinkan hubungan istimewa dengan seorang wanita dari negara Indonesia.

Namun, jodoh mereka tidak berpanjangan kerana bekas kekasihnya meninggal dunia akibat jangkitan Covid-19 pada 2021.

“Kali terakhir saya mengenali wanita dari negara seberang juga berakhir dengan kisah duka apabila wanita itu meninggal dunia akibat virus Covid-19,” katanya.

Sekadar info, Hafiz pernah mendirikan rumah tangga dengan Siti Arifah Mohd Amin atau dikenali sebagai Joy Revfa pada 1 Mei 2017 namun sah bercerai dengan talak satu pada 25 Oktober 2017.

Maya Basir