Bekas Suami Ziana Zain Terlepas Hukuman Penjara

Bekas suami kepada penyanyi terkenal Ziana Zain, Armin Zaharin Ahmad Zambri terlepas daripada hukuman penjara selama lapan bulan yang dikenakan selepas hukuman tersebut digugurkan oleh Mahkamah Tinggi.

Hakim Hasbullah Adam membenarkan rayuan Armin Zaharin terhadap hukuman bagi kesalahan menyebabkan kecederaan ke atas anaknya yang berusia sembilan tahun itu.

Walaubagaimanapun, rayuan Armin Zaharin ditolak Hakim bersabit kesalahan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan menjatuhkan hukuman denda RM8,000 atau enam bulan penjara jika gagal membayar denda.

Sehubungan itu, wang jaminan yang dikenakan ke atasnya sebanyak RM8,000 dikembalikan.

“Saya harap ini menjadi satu pengajaran kepada kamu, tolong kawal diri sebab hubungan bapa kepada anak. Anak tetap anak, sampai mati pun tetap anak, jangan putus hubungan,” ujar Hakim.

Mengikut kes, Armin didakwa memukul anaknya di sebuah rumah di Denai Alam dengan menggunakan sebatang rotan. Kejadian itu berlaku pada 24 Februari 2018 kira-kira jam 8 malam dan 10.30 malam.

Kejadian bermula apabila dia meminta mangsa iaitu anak lelakinya untuk membaca surah al-ikhlas secara spontan untuk menguji hafalannya.

Akibat berlaku kesukaran dalam membaca, pipi mangsa ditampar sebelum dikenakan rotan di bahagian tangan.

Sejurus mengetahui kejadian tersebut, Ziana Zain membuat laporan di Balai Polis Bukit Jelutong pada 27 Februari 2018. Hal ini kerana, anak yang dipukul merupakan orang kurang upaya dimana mangsa menghidap gangguan kurang daya tumpuan dan hiperaktif (ADHD).

Untuk rekod, Armin Zaharin, 57, telah memfailkan petisyen di Mahkamah Tinggi pada 4 Januari 2021 setelah dirinya dijatuhkan hukuman penjara lapan bulan pada 28 September 2020 apabila dia didapati bersalah menyebabkan luka dan lebam ditangan mangsa dengan sengaja.

Terdahulu, Ziana Zain dan bekas suaminya telah sah bercerai dengan talak satu pada 12 Julai 2018 di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam selepas mendirikan rumah tangga selama 20 tahun.

Sumber: Utusan

Atiqah Johari