Bella Enggan Ulas Punca Cerai, Mahu Move On

Selepas bercerai dengan bekas suaminya, Nazim Othman, pelakon Bella Dally mengatakan yang dia sudah reda dengan perkara itu.

Malah dia kini ingin meneruskan kehidupannya seperti biasa selepas ini.

Aktres kelahiran Kota Kinabalu, Sabah ini juga enggan mendedahkan punca penceraian yang terjadi di antara mereka berdua.

“Saya kena reda, positif dan ‘move on’. Saya berusaha cuba untuk tidak memikirkan mengenainya (perpisahan). Alhamdulillah, saya ada keluarga dan rakan yang tanya khabar serta keadaan saya.

“Sekarang ini, saya tidak perlu cakap banyak dah. Semua sudah tahu status saya dengan Nazim.

“Untuk berkongsi mendalam mengenai puncanya, rasanya tak manis untuk dikongsikan. Cukup setakat apa yang semua sudah maklum,” katanya memetik Harian Metro.

Khamis lalu, Bella dan Nazim mengejutkan peminat apabila mengesahkan mereka sudah bercerai di laman Instagram masing-masing.

Bella dan Nazim diijabkabulkan pada 10 September 2016 dan tidak dikurniakan cahaya mata.

Sementara itu, Bella kini dilihat aktif mengusahakan perniagaan biskut, Crumbs by Bella Dally dan dia turut terlibat dalam festival jualan di Singapura minggu ini.

SGMS Enal