Meghan Markle Sahkan Bapanya Tak Hadir Perkahwinan Diraja

Pelakon Meghan Markle yang bakal berkahwin dengan kerabat diraja Inggeris, Putera Harry, 34, mengesahkan bapanya, Thomas Markle tidak dapat hadir menyaksikan perkahwinannya yang dijadualkan berlangsung esok.

Menerusi kenyataan media, Meghan, 37, berkata, “Bapa saya tidak dapat hadir perkahwinan saya. Saya harap dia diberi ruang untuk fokus dalam menjaga kesihatannya.”

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Istana Kensington itu bagi menjawab spekulasi yang dimainkan media barat mendakwa aktres itu sengaja menghalang bapanya daripada menghadiri majlis perkahwinannya.

Susulan itu, tugas Thomas untuk mengiringi Meghan pada majlis pernikahan pasangan diraja itu kemungkinan besar akan digantikan oleh ibu Meghan, Doria Ragland atau bapa Harry, Putera Charles.

Ibu bapa Meghan bercerai ketika dia berusia enam tahun.

Perkahwinan diraja yang bakal ditonton berbilion penonton dari seluruh dunia itu akan berlangsung di Gereja St George, Istana Windsor.

Antara selebriti terkenal yang dijangka hadir majlis itu ialah David Beckham dan isteri, Victoria, Ed Sheeran, bintang tenis Serena Williams dan rakan pelakon Meghan, Priyanka Chopra dan Patrick Adams.

Perkenalan kedua-duanya bermula pada bulan Julai 2016 menerusi sesi temu janji yang diaturkan oleh rakan mereka.

Harry mendedahkan ketika diperkenalkan, Meghan tidak tahu mengetahui status dirinya yang berketurunan diraja.

“Saya berasal dari Amerika, saya tidak membesar dengan sistem kerabat diraja di tempat asal saya,” jelas Meghan bagi menjawab persoalan ramai bagaimana dia langsung tidak mengetahui asal-usul suaminya itu. 

SGMS Enal