Categories: Hiburan

Bergandingan Dengan Isyariana, Pelakon Indonesia Renald Ramadhan Teruja Berlakon di Malaysia

Pelakon Indonesia, Renald Ramadhan, 21, teruja mengembangkan karier lakonannya di Malaysia.

Pemilik nama penuh Renaldy Putra Ramadhana kini membintangi filem usaha sama negara Malaysia dan Indonesia berjudul Gadis Felai.

Pelakon sinetron Cinta Suci dan Dari Jendela SMP itu tidak menyangka dapat peluang untuk berlakon di negara ini.

“Ketika mendapat tawaran, saya sangat teruja. Sudah pastinya peluang ini tidak akan saya tolak sama sekali. Pada saya, ia merupakan satu pengalaman yang sangat berharga dapat bergandingan dengan pelakon-pelakon di sini.

“Sejujurnya saya tidak mengenali sangat pelakon Malaysia, kecuali beberapa nama seperti Meerqeen dan Anna Jobling kerana drama mereka, Melur Untuk Firdaus terkenal di Indonesia,” katanya.

Sedang membina nama di Indonesia, Renald berpendapat peluang untuk membintangi filem Gadis Felai merupakan platform untuk dikenali di Malaysia.

“Saya sedar ramai juga pelakon-pelakon Indonesia yang cukup popular dan terkenal di sini. Jadi, tidak mustahil dengan membintangi filem ini menjadi platform untuk peminat Malaysia mengenali saya.

“Pada masa akan datang, saya juga tidak kisah sekiranya terus mendapat tawaran untuk berlakon di Malaysia, sama ada filem atau sinetron (drama),” jelasnya.

Dalam filem Gadis Felai yang mengisahkan tentang pelaburan Forex, Renald membawakan watak sebegai jejaka dari seberang bernama Eko.

Selain Renald, filem Gadis Felai turut dibintangi oleh Isyariana, Noorkhiriah, Zarynn Mynn, Adjie Pangestu, Tsania Marwa dan ramai lagi.

Padin