Kahwin Lagi Lepas Dua Perkahwinan Gagal? Nadia Annuar Serik, Trauma… Tapi Ramai Juga Yang Cuba Dekati

Pengacara, Nadia Annuar mengakui serik untuk mendirikan rumah tangga lagi selepas berdepan episod perceraian awal tahun ini.

Menurut laporan Utusan Malaysia, Nadia menyifatkan dirinya bukanlah seorang yang gemar mendirikan rumah tangga dalam tempoh singkat selepas bercerai.

“Serik? Ya sebab sudah dua kali perkahwinan saya gagal.

“Trauma sebenarnya, yelah bukan sekali tetapi dua kali. Tetapi saya bukan menyalahkan sesiapa. Mungkin itu yang sudah tertulis untuk saya.

“Dalam pada masa sama, saya bukan jenis wanita yang boleh berkahwin dan bercerai, kemudian bernikah lain dalam tempoh yang dekat.

“Saya bercakap untuk diri sendiri, bukan orang lain. Saya sendiri seorang yang sukar membuka hati apatah lagi mempercayai orang lain,” ujarnya.

Kongsi bekas pengacara program bual bicara popular TV3, Wanita Hari Ini lagi, dia berkongsi ramai individu yang mendekatinya selepas kembali solo.

Namun, Nadia tetap dengan pendiriannya yang belum bersedia untuk membuka pintu hati kepada mana-mana lelaki.

“Tipulah kalau tidak ada yang mendekati, memang ada. Tetapi itulah, saya bukan jenis selalu bersosial atau mudah untuk menjalin persahabatan serta bergaul dengan individu tidak dikenali.

“Kalau orang tanya saya bersedia atau tidak untuk bernikah lain, mungkin akan ambil masa sangat lama untuk membuka hati. Mungkin enam, tujuh tahun.

“Bukan tutup sepenuhnya tetapi buat masa sekarang, hati masih lagi terluka dan terkesan perceraian baru-baru ini,” kongsinya.

Untuk rekod, Nadia berpisah dengan usahawan, Hafiz Salleh sekitar awal tahun ini. Mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Dya Naylaa, 7.

Nadia juga pernah berkahwin bersama Datuk Sulaiman@Mohd Helmi Mohd Ilyas dan bercerai pada Oktober 2010.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan cahaya mata lelaki, Mohamed Aaron Erwin, 16.

ARTIKEL BERKAITAN: “Tak Semua Perkahwinan Berakhir Sebab Salah Satu Pihak Jahat!” – Nadia Annuar Kesal Dituduh Diri Bermasalah Punca Bercerai Kali Ke-2

ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] “Ya, Saya Single! Tapi Tak Available” – Nadia Annuar Sah Bercerai Kali Kedua

Sumber: Utusan Malaysia

Khairil Khusyairi