Bergerak Sendiri, Kaka Azraff Berjumpa Menteri Komunikasi Minta Sokongan – “Anak Seni Perlu Tahu…”

Penyanyi Kaka Azraff mendapatkan nasihat dengan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil tentang hala tuju karier muziknya selepas ini yang tidak bernaung dengan mana-mana syarikat rakaman.

Memetik laporan Berita Harian, Kaka atau nama sebenar Nor Atiqa Noor Azraff, 35, memberitahu perjumpaan tersebut juga untuk menjelaskan perkara sebenar yang terjadi.

“Pertemuan itu bertujuan mendapatkan nasihat. Saya dapati badan kerajaan ini sebenarnya sangat besar dan boleh meningkatkan semangat saya dalam karier muzik ini.

“Negara kita tiada akta khusus mengenai muzik. Namun, kerajaan ambil berat mengenai anak-anak seni. Saya bersyukur dan gembira sebab tahu saya tidak keseorangan.

“Menteri cuma mahu dengar daripada saya atas apa yang terjadi. Saya juga maklumkan apa yang saya perlu lakukan untuk karier saya selepas ini dengan mendapat sokongan kerajaan,” katanya.

Pertemuan bersama Fahmi merupakan susulan daripada isu penamatan kontrak Kaka dengan Warner Music Malaysia pada 1 Disember lalu gara-gara didakwa lantang bersuara mengenai penindasan Israel terhadap Palestin.

Sementara itu, Kaka mengharapkan pertemuan bersama Fahmi dapat membuka jalan baru kepadanya.

“Untuk tahun ini saya lebih memikirkan mengenai perancangan yang perlu dilakukan. Saya sudah bergerak sendiri sebagai penyanyi tanpa terikat dengan mana-mana label atau syarikat rakaman.

“Itu memerlukan keyakinan tinggi untuk saya bergerak sendiri. Jadi, apabila bertemu badan kerajaan, banyak yang mereka boleh bantu.

“Sebenarnya, anak seni patut tahu, kita ada kerajaan yang boleh membantu, bukan syarikat rakaman sahaja,” ujarnya.

Terdahulu, kemelut antara Kaka dan syarikat rakaman tercetus apabila penyanyi itu meninggalkan mesej berbaur kecaman kepada pelakon Australia pro-Israel, Nathaniel Buzolic di Instagram.

Disebabkan mesej tersebut, nama Kaka telah disenaraikan sebagai anti-semitik di bawah nama Jew Hate Database.

Difahamkan, kontrak Kaka dan Warner Music Malaysia ditamatkan walaupun sepatutnya berakhir, April depan.

Maya Basir