Bergurau Konon Tolak Isteri Jatuh Bot, Aeril Zafrel Didakwa Tak Sensitif & Persendakan Kematian Tangmo Nida?

Sebelum ini, apa sahaja yang dimuat naik oleh pelakon terkenal Aeril Zafrel menerusi ruangan TikTok miliknya pasti menjadi tumpuan dan topik hangat dalam kalangan netizen malah, ada yang menggelarnya sebagai ‘President TikTok’.

Ia susulan, Aeril sering mengikuti perkembangan semasa dengan memuat naik video-video mencuit hati yang berlaku menerusi platform tersebut.

Namun, lain pula ceritanya kali ini apabila, Aeril bertindak memuat naik sebuah video yang seakan-akan mempersendakan kisah tragis kematian aktres Thailand, Tangmo Nida.

Menerusi video tersebut, Aeril dan isterinya, Wawa Zainal dilihat sedang bercuti di Thailand untuk meraikan kejayaan mereka sebagai usahawan yang berjaya sambil menaiki bot kecik menyelusuri sungai yang dikelilingi kehijauan.

Bagaimanapun, dipertengahan video berdurasi 18 saat itu, Aeril dilihat seakan mahu menolak Wawa ke dalam sungai sambil tertawa seolah-olah puas dengan tindakannya itu sebaik sahaja Wawa hilang dari pandangan.

Apa yang lebih mengeruhkan keadaan adalah video tersebut telah disunting berlatarbelakangkan sebuah lagu Thailand, yang dipercayai sering digunakan oleh media Thailand apabila memuat naik berita mengenai kematian mendiang Tangmo.

Susulan itu, ramai dalam kalangan netizen yang mendakwa Aeril tidak sensitif dan mempunyai rasa empati terhadap nasib malang yang menimpa aktres terkenal Thailand itu selepas ditemui mati di Sungai Chao Phraya pada Mac lalu.

Susulan tindakannya itu, pelakon drama rantaian Cari Aku Di Syurga ini menerima pelbagai kritikan dan kecaman yang teruk daripada netizen.

Malah, ada yang menggelarnya biadap dan lawak yang cuba sampaikannya itu ‘gagal’.

Terbaharu, Aeril dilihat telah memadam video berkenaan daripada akaun TikTok mililknya dan membuat permohonan maaf secara terbuka menerusi ciapan di akaun Twitter rasminya.

Aqilah Paharuzi