‘Berhabis’ Untuk Single Lakar Janji, Azharina Mahu Ulang Kejayaan Elergi Sepi

Penyanyi Azharina mahu mengulangi kejayaan single Elergi Sepi yang pernah meledakkan namanya suatu masa dahulu.

Ketika ditemui di majlis pelancaran single terbaru Lakar Janji, Azharina meletakkan harapan tinggi terhadap buah tangan terbarunya ini.

“ Kalau boleh saya mahu lihat lagu ini berjaya seperti mana single Elergi Sepi lakukan. 

“ Untuk rakaman Lakar Janji, ia juga melakar sejarah pertama untuk saya apabila masuk studio sebanyak dua kali. Percaya atau tidak, sepanjang pembabitan dalam karier tidak pernah saya masuk dua kali untuk rakaman.

“ Bukan itu saja, modal untuk menghasilkan single ini juga menelan belanja besar, paling besar setakat ini,” katanya di sidang media Lakar Janji yang berlangsung di Sunway Putra Mall, semalam.

Lakar Janji ciptaan Dr Irma yang merupakan seorang doktor gigi yang juga merupakan kerjasama pertama Azharina Entertainment dan Irma Entertainment.

Kali terakhir penyanyi berusia 33 tahun ini menghasilkan single adalah pada tahun lalu iaitu Cinta Terbahagi Dua.

“ Saya berharap lagu ini juga akan berjaya membolos ke pentas akhir Juara Lagu tahun depan.

“ Dengan kerjasama iringan 40 penyanyi koir dan instrumen muzik lain, saya berharap lagu ini meninggalkan impak besar sebagaimana Elergi Sepi pernah lakukan,” katanya.

SGMS Faida