Beri Kenyataan Biadap Sehingga Dikesali PM, Zaki Yamani Mohon Maaf

Baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meluahkan rasa kesal dengan tindakan seorang pengguna media sosial Twitter dengan ciapan berkaitan kesihatan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Menerusi ciapan bidap seorang pengguna yang dikenali sebagai Zaki Yamani, dia turut memetik nama mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Doa: Ya Allah! Ambillah nyawa Abdul Hadi Awang. Hentikan kerosakan yang dilakukan nya di muka bumi. Hentikan fitnah yang dibawanya terhadap agama-Mu. P/S: Ambil sekali Mahathir,” ciapnya.

Susulan ciapan tersebut, Anwar telah mengarahkan lelaki tersebut untuk tampil memohon maaf dengan tindakan yang melampaui batas itu.

“Saya membantah dan kesal dengan ciapan biadab Zaki Yamani dan mengarahkan beliau untuk memohon maaf dengan kadar segera,” ciap Anwar.

Dalam perkembangan lain, Zaki tampil membuat permohonan maaf terbuka kepada isteri dan keluarga Abdul Hadi pagi tadi.

“Mengambil perhatian ciapan PM @anwaribrahim dan pandangan rakan-rakan, saya memohon maaf kepada isteri dan keluarga Tan Sri Abdul Hadi Awang andai ciapan saya ini menggores perasaan,” ciapnya.

Berkaitan isu terbabit, nama Zaki Yamani iaitu anak kepada penyanyi Jamal Abdillah turut terkait dengan ciapan Anwar itu gara-gara ramai yang tersalah faham kerana mereka mempunyai nama sama.

Zaki telah menjelaskan salah faham itu di Instagram Story (IGS) miliknya.

Individu yang dimaksudkan itu adalah salah seorang pengguna Twitter yang lain dan bukanlah dirinya sendiri.

Nurul Hana