Pelanggan Sering Tak Bayar Lepas Makan, Ada Yang Cuba Buat Onar Dekat Restoran Linda Onn? – “Kalau Ada Niat Tak Baik, Jauhkan”

“Kita manusia tidak hilang daripada sifat pelupa, andai kata tidak lupa dan disengajakan, itu memang tidak halal lah”

Demikian respons usahawan dan penyampai radio terkenal, Linda Onn apabila terdapat pelanggan yang didapati tidak membayar selepas menjamu selera di restoran miliknya baru-baru ini.

Biarpun ini bukan kali pertama berlaku, Linda tidak teragak-agak untuk membuat konsep bayar dahulu sebelum makan dan tetap mahu pelanggannya menjamu selera dengan tenang.

“Tapi ada sesetengah pelanggan memang sejenis yang kelam kabut dan sibuk dengan anak-anak, kalau terlupa tidak mengapa, saya halalkan.

“Banyak kali jadi sebenarnya, dan ada yang cadang untuk buat konsep ‘bayar dahulu, makan kemudian’ tetapi ada juga yang tidak suka.

“Saya mahu pelanggan menjamu selera dengan tenang, tapi kalau keadaan memaksa, ikut teknologi masa kini, kami akan ikut juga lah,” kongsinya kepada program hiburan popular TV3, Melodi.

Dalam pada itu, bekas penyampai radio Kool FM itu mengakui ada cubaan untuk membuat onar terhadap perniagaannya namun tetap kekal positif dengan cabaran tersebut.

“Memang ada, saya anggap apa sahaja yang saya lakukan adalah apa yang diaturkan oleh Allah S.W.T.

“Saya buka perniagaan ini dan ini rezeki saya maka inilah rezeki saya.

“Saya dah berniaga dah lama, perkara ini mematangkan saya, jadi saya tepis semua dengan tenang,” ujarnya positif.

Linda juga turut memberi pesanan kepada semua agar tidak lupa untuk membayar makanan kerana itu adalah satu kewajipan.

“Bayar itu satu kewajipan, makan kena bayar.

“Satu benda yang diambil dengan niat mencuri dan sengaja itu jatuh tidak halal.

“Kalau betul ada niat tak baik, jauhkan. Kalau betul terlupa, Insya-Allah halal,” titipnya.

Terdahulu, Linda memuat naik rakaman kamera litar tertutup (CCTV) restoran miliknya yang memaparkan sebuah keluarga meninggalkan premis tersebut tanpa membuat pembayaran selepas menjamu selera.

Khairil Khusyairi