Berlaku Pergelutan, Pelakon Usia 20-an Tumbuk Mata Isteri Hingga Cedera

Awal pagi tadi, isteri kepada seorang pelakon lelaki hadir membuat laporan polis mendakwa suaminya itu telah menumbuknya di bahagian mata beberapa kali sehingga cedera.

Memetik laporan Harian Metro, sumber menyatakan mangsa yang berumur 20-an itu telah membuat laporan mengenai insiden tersebut di Balai Polis Jinjang kira-kira 6.30 pagi tadi.

“Difahamkan ketika kejadian, mangsa bersama suaminya berusia lingkungan 20-an berada di dalam kereta yang berhenti di kawasan rehat dan rawat (R&R) di sekitar Sungai Buloh, Selangor.

“Ketika kejadian, berlaku pergelutan dipercayai berpunca mangsa menjawab panggilan telefon semasa perbincangan antara mereka.

“Pelakon itu bertindak menumbuk muka mangsa tiga kali menyebabkan mangsa cedera di bahagian mata,” jelasnya ketika dihubungi Harian Metro.

Susulan itu, Ketua Plis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar turut mengesahkan bahawa pihaknya menerima laporan berkenaan kes tersebut.

“Siasatan lanjut berhubung kejadian ini sedang giat dijalankan dan kita dalam proses untuk merakam percakapan mangsa.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan,” ujarnya.

Sumber: Harian Metro

Atiqah Johari