Categories: HiburanTrending

Bersyukur Zain Saidin Selalu Ingatkan Solat & Tegur Aurat… Che Ta Titip Pesanan Buat Golongan Wanita

Aktres jelita dan usahawan, Rozita Che Wan mendedahkan suaminya, Zain Saidin sering memahami dirinya yang sibuk dengan kerjaya walaupun tidak sempat menguruskan kerja rumah.

Menurut Rozita atau lebih mesra disapa Che Ta, Zain tidak pernah menghalang dia pulang lewat ke rumah jika mempunyai komitmen di luar.

“Alhamdulillah syukur untuk 10 tahun yang membahagiakan walaupun saya kadang-kadang jadi singa.

“Untung kami dapat suami macam Zain. Paling tidak cerewet, tak pernah suruh kami kemas rumah, basuh baju dan pinggan… Saya keluar lepak balik pukul 4 pagi pun dia tak tanya,” luahnya.

Teraju utama drama komedi Kak Mar itu bersyukur kerana suaminya menitikberatkan soal auratnya dan sentiasa mengingatkan dirinya agar menunaikan solat biarpun terikat dengan jadual kerja yang padat.

“Yang dia akan tanya, sayang sudah solat? Yang dia akan tegur hanya kalau aurat saya ternampak,” katanya.

Memetik laporan mStar, Che Ta turut menasihati para wanita agar mencari pasangan yang sudah tahu menjalankan tanggungjawab sebagai seorang suami yang soleh dan baik.

Baginya, kemewahan harta dan stabil kewangan semata-mata tidak menjamin kebahagiaan yang berkekalan tetapi pengetahuan agama yang jauh lebih penting.

“Tak perlu lelaki kaya untuk rumah tangga yang bahagia janji tahu tanggungjawab masing-masing.

“Cari yang tahu agama dan praktikkannya bukan hanya tahu agama tapi jadi penunggang. Nauzubillah.

“Sebenarnya dalam apa juga keadaan dalam hidup ini, sederhana itu utama,” ujarnya.

Sumber : mStar

Syamir Shafie