#SFMM38: Kecewa Ernie Zakri Tak Nyanyi Lagu ‘Astana’, Peminat Desak Bekas Syarikat Rakaman Beri Kenyataan Jelas – “Penat Undi Tapi Orang Lain Yang Nyanyi”

Kecoh di media sosial baru-baru ini apabila peminat meluahkan rasa kecewa susulan penyanyi bersuara lunak, Ernie Zakri tidak akan menyanyikan lagu Astana di pentas Separuh Akhir Muzik Muzik 38 (SFMM38).

Ternyata keputusan tersebut mengejutkan ramai pihak terutamanya peminatnya sendiri kerana mereka sudah berjuang habis-habisan mengundi saban minggu tetapi akhirnya penyanyi baharu meningkat naik, Nadeera menjadi pengganti Ernie.

ARTIKEL BERKAITAN: Saingan Bermula! Ini Senarai Penuh 30 Lagu Yang Layak Ke Separuh Akhir Muzik Muzik 38 #SFMM38

Meninjau di media sosial, rata-rata peminat mendesak penjelasan syarikat rakaman yang menaungi Ernie sebelum ini, Rocketfuel Entertainment mengenai isu terbabit.

Ada juga yang turut mempersoalkan mengapa perkara itu terus berlaku kepada penyanyi kesayangan mereka kerana timbul dakwaan peminat ini merupakan kali keempat lagu Ernie diperlakukan sebegitu gara-gara pihak ketiga.

Tidak berdiam diri, Rocketfuel Entertainment tampil memaklumkan di ruangan komen Instagram mereka dengan menyatakan keputusan tersebut adalah pendirian Ernie sendiri untuk tidak menyanyikan lagu Astana di SFMM38.

“Rocketfuelent menghormati keputusan penyanyi asal untuk tidak menyanyikan lagu ini,” tulis pengendali akaun di ruangan balas.

Tidak berpuas hati, ada juga yang turut mendesak agar syarikat rakaman tersebut mengeluarkan kenyataan yang jelas demi meleraikan pertikaian yang timbul.

Sehingga kini, Ernie juga tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung isu tersebut malah pemenang vokal terbaik AJL 35 menerusi lagu Gundah itu menutup ruangan komen di media sosialnya.

SFMM38 menyaksikan 30 karya lagu bakal merebut 12 tempat ke AJL 38 yang bakal diadakan pada 3 Mac 2024 di Axiata Arena, Kuala Lumpur.

SFMM38 dibawakan khas oleh penaja utama, Alha Alfa dan rakan penaja, U Mobile. Turut memeriahkan musim ini adalah OhBulan!, XTRA dan Seismik sebagai rakan digital, serta Hot FM sebagai rakan radio.

SFMM38 yang dihoskan Izzue Islam dan Fizza Frizzy akan bersiaran secara langsung pada 15, 16 dan 17 Disember ini jam 3.00 petang hingga 5.00 petang di TV3 dan strim HD secara langsung di www.tonton.com.my.

Khairil Khusyairi