“Boleh Cop Jadi Menantu” – Netizen Usik Elfira Loy Supaya Berbesan Dengan Mira Filzah

Pelakon Mira Filzah dan suami, Wan Emir Astar akhirnya mendedahkan wajah putera sulung mereka, Wan Khair Amir yang kini berusia lima bulan di majlis aqiqah.

Menerusi perkongsian Mira di Instagram Story, majlis tersebut diadakan secara kecil-kecilan dan untuk kenalan rapat sahaja.

“Mira minta maaf majlis ni kecil-kecilan sahaja. Keutamaan pada tetamu Mak, Abah dan Emir, Ibu, jemput yang tak dapat jemput masa majlis nikah dan resepsi dulu,” tulisnya.

Beberapa rakan selebriti turut diundang ke majlis tersebut termasuklah pelakon Elfira Loy dan suami, Muhammad Faris Khairol Anuar dan anak mereka, Muhammad Rayyan Khala dan Nur Aria Mikayla.

Menerusi perkongsian di Instagram, Elfira memuat naik foto bersama keluarganya dan keluarga Mira serta mendoakan kesejahteraan Wan Khair Amir.

Meninjau diruangan komen, rata-rata netizen mengusik Elfira dengan menyatakan ingin melihat kedua-dua pelakon itu ‘berbesan’.

Usikan tersebut meminta Elfira menjodohkan puterinya dengan putera Mira Filzah.

“Boleh cop jadi menantu.

“Boleh berbesan lah lepas ni. Tunggu besar ya Aria dan Amir,” usik netizen.

Untuk rekod, Elfira dan Faris Anuar mendirikan rumahtangga pada Januari 2019 dan dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Muhammad Rayyan Khalaf pada Oktober 2019 dan Nur Aria Mikayla yang lahir pada Mei 2022.

Manakala pasangan Mira dan Wan Emir selamat bernikah pada September 2020 dan dikurniakan putera sulung, Wan Khair Amir pada Mei 2022.

Maya Basir