Dari Rock Ke Tradisional, Ella Kini Tukar Selera?

Ratu rock negara, Ella bakal bawa kelainan dalam konsert Ella Unplugged In Kuala Lumpur bermula 29 hingga 31 Mac depan.

Tiga dekad bergelar penyanyi, Ella bakal tampil dengan persembahan lagu-lagu tradisional untuk konsert tiga malam itu nanti.

“ Untuk konsert kali ini, saya akan lakukan sedikit kelainan dalam pemilihan lagu iaitu dengan menyanyikan lagu-lagu yang tidak pernah saya bawa.

“ Irama asli antara muzik yang bakal diperdengarkan sepanjang tempoh tiga hari itu. Saya juga sedang mendalami ilmu muzik tradisional termasuklah zapin,” katanya ketika ditemui di sidang media konsert Ella Unplugged In KL di MATIC, semalam.

Akui pelantun lagu Pengemis Cinta ini, dia sukar tidur malam memikirkan bentuk persembahan untuk konsert yang bakal diadakan di Istana Budaya itu nanti.

“ Bukan tak pernah bawa lagu berentak begini cuma jarang. Saya sedang memikirkan beberapa buah lagu bersesuaian. Antara lagu yang saya gemar seperti Tak Seindah Wajah nyanyian asal Allahyarham Tan Sri SM Salim.

“ Kita tengok macam mana nanti. Latihan juga akan bermula dalam masa terdekat. Yang penting, peminat harus datang sokong ya,” katanya dalam nada manja seperti biasa.

Ditanya adakah Ella akan menari di konsert itu nanti, dengan selamba beliau menjawab ‘Mungkin satu langkah sahaja kot’. Jom dapatkan tiket di www.proticket.com.my bermula 2 Januari 2019.

SGMS Faida