Budaya ‘Speed Dating’ Tidak Wajar Dipromosikan, Ustazah Asma’ Harun Tampil Beri Penjelasan – “Ini Budaya Baru Yang Merisaukan!”

Selepas budaya mencari jodoh atau ‘Speed Dating’ yang diadakan di sebuah kafe di ibu kota baru-baru ini tular sekaligus menimbulkan pelbagai persoalan,pendakwah bebas popular, Ustazah Asma’ Harun tampil memberikan penjelasan.

Menurutnya, trend mencari jodoh melalui cara sedemikian merupakan budaya baru yang amat merisaukan.

Mana tidaknya, individu wanita akan diberikan masa untuk berkenalan dengan individu lelaki, namun sebaik sahaja masa tamat, maka individu lelaki lain pula yang akan berbual dengan wanita tadi sekaligus menunjukkan  proses ini sama sekali tidak mengikut landasan Islam dalam bertaaruf (berkenalan).

“Cuba Tuan Puan bayangkan, wanita pertama berkenalan dengan lelaki pertama, kemudian selepas tamat masa, dia teruskan dengan lelaki seterusnya. Boleh jadi, 3 orang akan suka perempuan yang sama dan boleh jadi perempuan tadi suka pada lelaki yang lain.

“Islam sangat meninggikan maruah dan sifat malu antara kedua-dua pasangan. Jika taaruf itu tidak berjaya sekalipun, maka kedua-dua pasangan tetap perlu menjaga rahsia dan aib. Proses ini jelas tidak mengikut landasan Islam dalam bertaaruf.

“Ramai yang bertanya adakah proses perkenalan yang diberi nama “speed dating” ini dibolehkan? Malah ada juga yang berhasrat untuk mengikutinya. Nauzubillahi minzalik,” ulasnya.

Speed Dating tidak wajar dipromosikan

Dalam hantaran sama juga, Ustazah Asma’ menegaskan bahawa proses berkenalan secara ‘Speed Dating’ ini tidak wajar dipromosikan kepada umum terutamanya kepada orang Islam.

Justeru, dia meminta agar pihak berwajib prihatin dan meneliti semula garis panduan mana-mana platform mencari jodoh.

“Moga pihak berwajib prihatin terhadap isu ini dan meneliti kembali garis panduan untuk mana-mana platform cari jodoh.

“Supaya proses yang suci ini tidak dicemari dengan dosa dan dijalankan berlandaskan syariat Islam terutamanya dari segi pelaksanaan, etika kerahsiaan, privasi pengguna, menjaga batas pergaulan berlainan jantina dan sebagainya,” katanya.

Perkara itu dikongsi Asma’ menerusi hantaran di Instagram miliknya baru-baru ini.

 

Salma Syahbuddin