‘Bukan Mudah Untuk Bertahan’- Remy Ishak

Memenangi trofi dalam kategori Gandingan Serasi Drama Popular bersama Mira Filzah, pelakon Remy Ishak meluahkan rasa syukur dirinya masih relevan di hati peminat meskipun sudah 15 tahun berada di dalam industri seni.

Pelakon filem Sangkar ini juga mengaku bukan mudah untuk terus bertahan memandangkan pendatang baharu dalam lakonan silih berganti.

“15 tahun aku berada dalam industri hiburan tanah air dan kerap berada di top 5 ABPBH.

“Selalu melihat pemenang bersilih ganti. Itupun sudah terlalu cukup memadai dan berharga.

“Bukan mudah untuk bertahan. Terima kasih kepada rakan-rakan dan peminat yang selalu menyokong,” tulis Remy menerusi akaun Twitternya.

Rata-rata peminatnya memberikan kata semangat kepada Remy untuk terus membuat yang terbaik dan tidak meletakkan trofi sebagai ‘pengukur’ dalam karier lakonan. 

Untuk rekod Remy pernah dua kali memenangi kategori Pelakon TV Lelaki Popular pada tahun 2010 dan 2011.

SGMS Faida