Buktikan Penghibur Lokal Juga Berbisa, Dolla Bakal Sepentas Dengan Bintang K-Pop

Kumpulan Dolla terus menjadi rebutan untuk beraksi bersama artis antarabangsa di pentas.

Oleh itu, Dolla bakal memeriahkan lagi Seen Festival in Kuala Lumpur 2023 bersama bintang sensasi K-Pop iaitu NCT Dream, WayV, KARD dan ALICE di Arena Axiata, Bukit Jalil pada Sabtu ini.

Dolla yang dianggotai Sabronzo, Syasya, Angel dan Tabby berasa teruja dan berbesar hati untuk menghiburkan penonton dan mengakui bahawa acara ini merupakan satu peluang keemasan yang cukup dinantikan.

“Kami merasa sanggat bangga apabila dibariskan dengan penghibur hebat dari Korea Selatan. Dapat berkongsi satu pentas dengan nama-nama handalan itu adalah impian yang sangat kami idam-idamkan sejak ceburi bidang muzik.

“Peluang ini amat bermakna secara peribadi buat kami sebagai artis yang masih merangkak kukuhkan nama. Ia satu pengiktirafan terbesar untuk karier kami apalagi memang cita-cita Dolla ingin tembusi pasaran antarabangsa lagi,” ujar Dolla.

Tambah Dolla yang hit dengan lagu Watch Me Glow, Berani, Impikan dan BAD itu menjanjikan persembahan yang bertenaga dan terbaik bagi membuktikan bahawa penghibur tempatan juga berbisa.

“Kami mahu pamerkan corak persembahan yang setara dengan kualiti antarabangsa sebagaimana artis K-Pop. Kami juga mengintai peluang untuk saling berkenalan dengan bintang Korea yang ada nanti demi luaskan jaringan,” kata mereka.

Setelah tiga tahun dalam industri, Dolla telah mencapai pelbagai kejayaan yang sangat membanggakan dan mempamerkan persembahan bertaraf dunia sentiasa menjadi pujian.

Bukan itu sahaja, kumpulan yang berani tampil dengan pelbagai fesyen terkini itu seringkali menjadi buruan pelbagai jenama gergasi untuk menjadi duta mahupun jurucakap.

Tambahan pula, karier nyanyian mereka tidak pernah sunyi kerana sentiasa konsisten melancarkan lagu dari semasa ke semasa.

Bukan itu sahaja, Dolla juga berhasrat ingin melancarkan lima single baharu sepanjang tahun ini dan sedang menjalani proses pemilihan lagu yang sesuai.

Sementara itu, Seen Festival in Kuala Lumpur 2023 akan menampilkan pentas berbentuk T. Ia bagi memudahkan peminat mendekati idola mereka selain merasai detik yang menggembirakan apabila dapat bertentang mata dengan artis pujaan mereka.

Atiqah Johari