‘Inni Tawakkaltu’ Untuk Penguat Semangat, Hafiz Hamidun Muncul Single Baharu

Penyanyi, penerbit dan komposer lagu ketuhanan, Hafiz Hamidun tampil dengan karya baharu yang berjudul “Inni Tawakkaltu” untuk pendengar.

Single baharu ini Hafiz menggunakan khidmat penulis lirik lagu-lagu nasyid terkenal iaitu ITO Lara yang mana pernah menghasilkan lagu nasyid popular seperti Kasih Kekasih, Nur Kasih, Ainul Mardhiah dan banyak lagi.

Lebih menarik, “Inni Tawakkaltu” juga menggunakan khidmat para pemuzik tempatan dan antarabangsa di dalam garapan gubahan muzik termasuk iringan orkestra dari Istanbul, Tukiye.

Malah, proses adunan dan mastering single ini juga mendapat sentuhan jurutera muzik antarabangsa iaitu Greg Henderson dan Don Bartley dari Australia.

“Inilah kepuasan saya apabila berkarya. Saya berbelanja untuk dapatkan hasil yang terbaik. Bukan hanya menggunakan para pemuzik professional dari luar negara, saya juga tetap yakin dan percaya dengan bakat para pemuzik tempatan.

“Di samping menggunakan khidmat para pemuzik dan jurutera terbaik dari dalam dan luar negara, Hafiz juga bekerjasama bersama ‘kawan lama’ beliau untuk penghasilan video muzik Inni Tawakkaltu.

“Setelah siap proses mastering lagu ini, saya kembali menghubungi kawan saya, Rifaiee untuk menjadi pengarah kepada video muzik Inni Tawakkaltu. Walaupun terdapat faktor kekangan masa, pengambaran video muzik ini telah berjalan lancar. Sebenarnya 12 tahun lalu, Rifaiee dan krew dari RIO Production jugalah yang merakamkan video zikir dari album Zikir Terapi Diri saya. Semenjak itu, kami telah bekerjasama untuk banyak produksi, baik di Malaysia mahupun di luar negara. Kini saya bangga dengan pencapaian Rifaiee dan RIO Production kerana sering menjadi pilihan syarikat rakaman untuk merakamkan video muzik artis-artis tempatan seperti Haqiem Rusli, Wany Hasrita, IamNeeta dan ramai lagi” komen Hafiz.

Kata Hafiz lagi, karya terbaharunya ini dihasilkan untuk semua pendengar yang pernah berdepan dengan pengalaman kesedihan dan kesusahan.

“Saya pernah jatuh, merangkak dan bangun kembali. Saya rasa, semua orang pernah alami situasi ini. Kesedihan dan kesusahan yang kita alami tidak selalunya difahami oleh semua orang. Jadi, saya harap Inni Tawakkaltu boleh menjadi penguat semangat untuk semua, supaya terus berusaha dan akhirnya berserah dan tawakkal kepada Allah.” Ujarnya.

Sehubungan itu, “Inni Tawakkaltu” boleh distrim bermula 27 Januari, tepat jam 12 malam waktu Malaysia di semua platform penstriman muzik dan boleh ditonton di saluran Youtube Hafiz Hamidun.

“Tahun 2023 memberikan sinar yang lebih cerah dan indah. Kehidupan saya semakin bahagia dengan adanya keluarga, kawan-kawan dan mereka yang sentiasa menyokong kerjaya dan kehidupan peribadi saya. Pada usia yang menjengah 39 pada tahun ini, saya tidak obses kepada populariti dan dunia glamour. Saya pernah merasainya namun Alhamdulillah saya tetap bersyukur. Apa yang saya inginkan sekarang ialah ketenangan dan perkara-perkara yang tidak merumitkan fikiran. Saya lebih senang menghabiskan masa bersama keluarga terutamanya bersama anak saya Hamdee. Saya kini lebih fokus untuk perkara-perkara yang santai, tidak seperti 20 tahun dahulu, ketika mula-mula menjadi artis rakaman.

Lebih istimewa, saya akan berada di Arab Saudi ketika lagu ini akan dilancarkan di platform digital kerana menunaikan Umrah. Kendatipun terpaksa meninggalkan seketika urusan kerja dan keluarga, saya berharap yang terbaik untuk karya Inni Tawakkaltu” kongsinya.

Untuk info, single “Inni Tawakkaltu” ini diterbitkan oleh Arteffects Sdn. Bhd. dan diedarkan oleh Universal Music Sdn. Bhd.

Atiqah Johari