Busana Hitam Di KLFW Dikritik Macam Plastik Sampah, Ada Yang Tegur Aina Abdul Makin Over… Ini Respons Empunya Badan

Nama penyanyi versatil, Aina Abdul tidak asing lagi sering menjadi perbualan netizen terutamanya membabitkan pemilihan fesyennya yang sering memukau orang ramai.

Terkini, pelantun lagu Sumpah itu hadir ke hari terakhir Kuala Lumpur Fashion Week (KLWF) 2022 yang bertempat di Paviliion, KL semalam dengan menggayakan busana daripada Behati.

Aina memperagakan busana berwarna hitam sehingga ada yang mengatakan pemilihan pakaiannya itu menyerupai comforter dan seperti mengganggu orang belakang yang mahu menonton peragaan fesyen.

Malah, pakaian Aina itu turut meraih perhatian pempengaruh Nur Sajat yang berada di Australia itu.

Tular sebuah video yang memaparkan Sajat mempersoalkan mengapa Aina memilih untuk memakai baju seperti plastik sampah.

“Aina apa ni? Ainaaa, awak jangan macam tu Aina. Jangan pakai baju plastik sampah, boleh nak pakai baju kembang kembang tapi jangan la sampai bungkus diri,” ujarnya sambil bergelak tawa.

Umum sedia maklum nama penyanyi lagu Terus Hidup ini acap kali berjaya mencuri perhatian ramai menerusi fesyen yang pelik namun tetap bergaya.

Memberikan respons terhadap video terbabit, Aina mengakui dirinya terhibur.

“Saya tak berhenti gelak tengok video Sajat tu. Saya pun tahu ramai juga komen. Saya terhibur membacanya, kelakar.

“Untuk penampilan semalam ia ada maksud tersendiri. Kiranya ia adalah kesinambungan intipati daripada gaya ‘black rose’ dulu yang mana daripada pereka dan jenama sama, Behati. Saya bukan saja-saja nak pakai.

“Saya mesej sendiri perekanya untuk hadir pada acara berkenaan. Jadi, dia buat busana itu khas untuk saya.

“Bagi saya, apa saja komen diberikan itu adalah imaginasi mereka. Apa saja fesyen saya kenakan, dulu, sekarang dan akan datang semua itu boleh dilihat dari banyak sudut. Saya melihat ia sebagai fesyen, tapi orang lain nampak lain. Saya faham, penampilan tu kalau orang sekali imbas akan tergelak,” katanya kepada Harian Metro.


Dalam pada itu, Aina juga tidak sedih apabila berhadapan dengan pelbagai komen yang mengkritik penampilannya.

“Bukan masanya dah saya sedih dengan komen-komen. Kalau dulu ya, saya akan sedih. Tipu kalau saya pakai macam tu tak harapkan orang bercerita. Penampilan dan busana tu saya memang nak orang bercakap. Saya pun gigih pakai macam tu.

“Cuak juga nak masuk pusat beli-belah. Kalau acara karpet merah lain. Ini acara pertunjukan fesyen. Sampai ada orang terkejut tengok saya masa berjalan masuk tu,” katanya.

Sumber: Harian Metro

Aqilah Paharuzi

Recent Posts