Cabaran Berpuasa Kali Ini Lebih Mencabar – Siti Nurhaliza

Sambutan Ramadan penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin pastinya berbeza tahun ini. Dengan kehadiran cahaya mata, Siti Aafiyah Khalid pada 18 Mac lalu pastinya memberikan kelainan!

Maklum saja, ini merupakan pengalaman pertama penyanyi kelahiran Pahang ini berpuasa sebagai ibu dan perlu menyusukan anak.

“ Puasa tahun ini mungkin akan jadi lebih mencabar apabila saya menyusukan anak sepenuhnya. Namun, saya tidak risau kerana dalam Islam juga membenarkan ibu-ibu yang menyusu untuk berbuka jika memudaratkan anak,” katanya memberitahu jadual kerjanya masih belum sibuk seperti dahulu.

Dalam masa sama, Siti bersyukur kerana setakat ini bekalan susu badannya belum pernah berkurangan.

“Saya akan cuba setakat yang mampu. Jika bekalan susu tidak terganggu dan Aafiyah juga kenyang, rasanya tiada masalah untuk berpuasa seperti biasa.

“ Yang penting saya perlu ambil makanan berkhasiat untuk berpuasa dan menyusukan anak,” katanya.

Namun, sebagaimana rutin Ramadan terdahulu, Siti memang akan memperlahankan aktiviti seni dan fokus terhadap ibadah.

“ Biasanya kami akan berkumpul bersama keluarga untuk berbuka puasa di rumah, sebelum sama-sama menunaikan solat berjemaah dan bertarawih,” katanya.

Siti juga memberitahu beliau sudah menyiapkan sebuah lagu istimewa sempena Ramadan bertajuk Cinta Syurga duet bersama Khai Bahar dengan menggunakan melodi asal single sebelum ini, Comel Pipi Merah.

SGMS Faida