Categories: HiburanTrending

Capai 6.4 Juta Tontonan TV, AJL38 Terbukti Paling Ikonik

Anugerah Juara Lagu 38 (AJL 38) pada kali ini telah berjaya mencapai 6.4 juta tontonan TV sekali gus menunjukkan peningkatan sebanyak 13% berbanding dengan AJL 37 sepanjang siaran langsungnya di TV3 pada 3 Mac lalu.

Capaian tontonan TV tersebut juga merupakan rekod yang tertinggi sejak 2021.

Jumlah tontonan menerusi strim langsung secara eksklusif di www.tonton.com.my mahupun aplikasi Tonton pada 3 Mac 2024 juga telah mencatat peningkatan sebanyak 153% jumlah jam tontonan di Tonton.

Capaian menerusi platform media sosial turut meningkat sebanyak 39.3% dengan catatan jumlah 3.2 billion dan sohor di media sosial selama 3 hari.

Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima dan Primeworks Studios berkata AJL 38 berjaya mencapai matlamat sebagai AJL paling ikonik dalam penganjurannya untuk memartabatkan lagu terbaik.

Persembahan pembukaan yang memukau dan tema MUZIKAVERSE juga mencetuskan ilham dan kreativiti yang luar biasa daripada semua pihak seperti pihak station, produksi dan barisan finalis AJL 38 dan turut menyumbangkan konsep persembahan dan rekaan pentas yang sangat unik.

“Bagi pihak TV3, saya ingin mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada lebih 200 warga kerja Media Prima yang terlibat dalam menjayakan AJL 38.

“Teruskan berkarya dan memberikan kandungan yang segar, menarik, menghiburkan dan menjadi sumber inspirasi kepada semua. Terima kasih juga kepada pihak penaja yang bersama-sama merealisasikan pentas AJL paling ikonik ini,” kata Nini Yusof.

AJL 38 membuka tirai dengan persembahan yang sangat bertenaga dengan konsep ‘girl band’ yang menggandingkan dua vokalis iaitu Shila Amzah dan Vanessa Reynauld, dan julung kalinya persembahan pembukaan dengan lagu medley antarabangsa dan tempatan.

Sissy Iman sebagai pemain keyboard dengan 3 pemain muzik muda yang berbakat besar iaitu Naimi Daini (drum), Tasneem Bolhasan (bass) dan Anis Kalisa (gitar). Interlude AJL38 pula dijayakan oleh 3 penyanyi hebat iaitu Datuk Zainal Abidin, Ella dan Dayang Nurfaizah.

Anugerah berprestij kali ini menyaksikan Amir Jahari (Hasrat( dinobatkan sebagai juara AJL 38, Aisha Retno (Sutera) sebagai naib juara dan Aina Abdul (Jangan Mati Rasa Itu) di tempat ketiga.

Dhia Iwana