Cinta Lama Berputik Kembali, Aisha Retno & Aziz Harun Bersatu Dalam ‘Jarak’

Penyanyi, Aisha Retno teruja mencipta duet pertama bersama penyanyi berjiwa besar iaitu Aziz Harun menerusi lagu Jarak hasil ciptaan sepenuhnya bersama Romeo dan komposer Glowrush.

Aisha ketika ditemui di pelancaran lagu Jarak meluahkan rasa syukur dan bangga atas peluang untuk bekerjasama bersama Aziz.

“Saya amat teruja berpeluang bekerjasama dengan penyanyi yang cukup terkenal dalam bidang seni suara di Malaysia dan Brunei.

“Lagu nyanyiannya selalu memberi saya idea dan inspirasi untuk menulis lagu baharu,” ujarnya.

Bercerita mengenai konsep muzik video tersebut, Aisha yang terkenal menerusi lagu W.H.U.T itu berkata lagu Jarak ini mengisahkan tentang bekas pasangan kekasih kembali menyulam cinta.

“Video lagu Jarak ada dua konsep iaitu kenangan masa lalu dan masa kini. Di mana awal video tersebut mengisahkan memori lampau dan konsep kedua adalah apabila cinta kami kembali berputik selepas terjumpa semula,” katanya.

Tambah Aziz, dia dan Aisha tidak mengambil masa yang terlalu lama untuk mencipta keserasian, malah proses rakaman hanya mengambil masa selama satu hari sahaja.

“Proses rakaman bersama penerbit Glowrush berjalan dengan mudah dan lancar sebab saya dengan Aisha bersepakat untuk tidak terlalu bereksperimentasi untuk menghasilkan lagu ini.

“Lagipun, kami nak simpan magis lagu ini pada setiap persembahan yang bakal kami bawakan secara langsung sambil diiringi petikan gitar.

“Kami juga bertuah apabila diberi rezeki untuk bekerja dengan Glowrush yang cukup dikenali sebagai penerbit yang berbakat besar,” katanya.

Jarak sudah boleh dimuat turun di iTunes dan dinikmati menerusi semua platform penstriman muzik terpilih seperti Apple Music, Deezer, KKBox, Spotify, YouTube dan YouTube Music manakala muzik video boleh ditonton di YouTube.

 

Maya Basir