Dah Cuba Nasihat, Rozie Othman Mahu Syasya Dolla Ubah Penampilan – “Seksi-Seksi Macam Ni, Nenek Tak Berkenan”

Pelakon veteran, Rozie Othman, memaklumkan dia ada menasihati cucunya, Syasya, yang juga ahli kumpulan Dolla agar tidak terlalu seksi dalam pemakaian.

Memetik laporan Harian Metro, Rozie menjelaskan dia menasihati Syasya dalam berpakaian malah mendoakan agar cucunya itu mendapat hidayah daripada Tuhan.

“Mengenai pemakaian seksi Syasya itu saya tahu dan sudah cuba menasihatinya. Saya cakap pada dia (Syasya), seksi-seksi macam ni, nenek tak berkenan. Kurangkan, cuba ubahlah.

“Saya pun dulu pernah muda seperti dia, jadi fahamlah juga jiwa orang muda ini. Cuma, apa yang saya harap dia dapat terima nasihat diberikan itu.

“Saya doakan yang baik-baik untuk dia agar mendapat hidayah daripada Allah. Saya juga berharap dia akan terus berjaya di dalam karier seni diceburinya ini. Dia masih muda dan perjalanan juga jauh lagi,” jelasnya.

Disoal mengenai kerjaya lakonannya, Rozie berkata dia kini kembali aktif dalam lakonan selepas berehat selama lima tahun akibat masalah kesihatan iaitu jangkitan kuman pada paru-paru.

“Alhamdulillah, sekarang tahap kesihatan saya semakin pulih, sihat dan sudah boleh aktif berlakon semula. Jadi, bagi produksi yang ingin memberi tawaran lakonan, saya alu-alukan.

“Tapi, saya harap tawaran bayaran juga berpatutan dan jangan bersikap diskriminasi kepada pelakon lama kerana kami komited dengan tanggungjawab pada watak digalas. Kami berlakon kerana minat dan ia sudah sebati dengan jiwa,” kongsinya.

Terdahulu, Rozie pernah membintangi dengan beberapa drama terbaharunya di televisyen seperti Risik Pada Hati, Anak Beranak Abang Yie, Sut Putih dan Bara Cinta Ramadan.

Sumber: Harian Metro

Khairil Khusyairi