Categories: HiburanTrending

“Dah Lebih Setahun Saya Tiada Tawaran Besar” – Akibat Kontang ‘Job’ Berlakon, Lan Zailan Terpaksa Jual Kereta Kesayangan & Berniaga Kecil-Kecilan

Pelakon veteran Lan Zailan membuat keputusan sukar apabila terpaksa menjual kereta kesayangannya, iaitu model Daihatsu Charade setelah menggunakannya selama 14 tahun.

Akui berat hati dengan tindakan tersebut, namun dia tidak ada jalan lain demi menyara kehidupannya gara-gara terputus punca rezeki melalui lakonan.

“Ikutkan saya memang sayang kereta ini. Tapi saya tiada pilihan lain dan ambil keputusan menjualnya kepada sesiapa yang berminat.

“Dah lebih setahun saya tiada tawaran besar. Kalau ada pun hanya tawaran sebagai pelakon undangan untuk sehari dua. Itu sahaja.

“Kalau nak harap episod macam dulu memang tiada,”luahnya.

Berkongsi keadaan keretanya yang dijual itu, Lan memberitahu, enjinnya masih baik dan cukai jalan juga aktif sehingga Mac.

“Berkenaan kereta pula, keadaannya masih baik kerana enjinnya dah ditukar kepada enjin Daihatsu Pisa Auto 1.3. saya hanya gunakan untuk bergerak dalam kawasan kampung sahaja.

“Cukai jalan juga hidup sampai Mac ini. Sebelum ini ada seorang individu, orang muda yang tengok dan kata berminat.

“Tapi lepas itu diam. Saya nak jual dengan RM5,000 dan masih boleh dirundingkan,” katanya.

Memetik laporan Harian Metro, Lan berhajat untuk membeli kereta terpakai jenis kenderaan pelbagai guna (MPV) di bawah harga RM10,000.

Sementara itu, Lan bersyukur kerana dapat meminjam kenderaan daripada ahli keluarga isterinya buat masa sekarang yang boleh memuatkan beberapa barang niaganya.

“Buat masa ini, anak saudara isteri pinjamkan kami kereta jenis Viva. Tapi kami bercadang nak jual kedua-duanya untuk beli kereta besar sikit untuk buat berniaga,” katanya.

Dalam pada itu, dia meluahkan rasa sedih kerana hanya mendapat satu sahaja tawaran berlakon sebagai pelakon undangan manakala untuk tahun ini pula dikhabarkan pada 14 Januari nanti.

“Selepas ini tak tahulah lagi bila pula nak ada tawaran berlakon. Pada masa sekarang, saya banyak sertai program jualan anjuran GTAS (Gabungan Transformasi Anak Seni),” katanya.

Menyedari dia sudah tidak boleh bergantung dengan peluang untuk dipanggil berlakon, Lan mencuba nasib untuk beralih kepada dunia perniagaan pula sebagai sumber pendapatan.

“Saya jual kerepek dan produk kesihatan. Kadang-kadang saya buka booth berniaga di tepi jalan sahaja.

“Saya tinggal di Hulu Langat, jadi tiada apa-apa tindakan dari pihak berkuasa.

“Sebelum ini, saya pernah buka booth jualan di Ampang dengan kawan-kawan. Kemudian datang Penguatkuasa nasihatkan supaya kemas-kemas dan jangan datang lagi situ. Mujur mereka tak rampas barang dan peralatan niaga,” jelasnya.

Sumber : Harian Metro

Syamir Shafie